Accessibility Tools

Skip to main content

Naik taraf LRA Limau Kasturi tingkat kapasiti air 20 JLH, dijangka siap 2029

  • 11 August 2026
  • Oleh: Asri Hamat
  • 32

KOTA DARULNAIM, 11 Ogos — Kapasiti Loji Rawatan Air (LRA) Limau Kasturi bakal ditingkatkan hampir tiga kali ganda daripada 6.7 juta liter sehari (JLH) kepada 20 JLH menerusi projek naik taraf yang dijangka siap pada penghujung 2029.

Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar YB Dato’ Dr Izani Husin berkata, projek berkenaan telah diluluskan di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan kini berada pada peringkat pelantikan perunding.

Menurutnya, proses pelantikan perunding oleh KKDW dijangka dimuktamadkan pada akhir tahun ini sebelum projek berkenaan memasuki peringkat seterusnya.

“Jadi, proses di bawah KKDW ini, kita boleh selesaikan dari segi kebenaran merancang dan sebagainya pada akhir tahun ini dan dijangka projek ini akan dapat disiapkan pada akhir 2029,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Nenggiri YB Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani pada Persidangan Kali Kedua Bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Yang Kelima Belas Tahun 2026, hari ini.

Dalam pada itu, sebagai langkah interim sebelum projek naik taraf LRA Limau Kasturi siap, Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) akan menggunakan dana sendiri bagi menambah kapasiti bekalan antara satu hingga dua juta liter sehari menerusi pembinaan telaga tiub baharu di kawasan berkenaan.

“Insya Allah, pada akhir tahun ini juga akan dilaksanakan projek tersebut,” katanya.

Mengulas situasi semasa, Dato' Dr. Izani memaklumkan, bekalan air di Limau Kasturi secara umumnya mencukupi namun gangguan masih berlaku disebabkan beberapa faktor termasuk masalah bekalan elektrik serta peningkatan permintaan pada waktu tertentu.

“Masalah utamanya ialah haiwan seperti kera dan sebagainya menyebabkan bekalan elektrik terganggu. Ini mengambil masa untuk dibaiki kerana pusat baik pulihnya berada sama ada di Kuala Krai ataupun Gua Musang.

“Masalah kedua ialah pada masa-masa tertentu seperti musim perayaan dan sebagainya, ketidakcukupan air di Limau Kasturi adalah dalam jumlah satu hingga dua juta liter sehari,” jelasnya.

Pautan berjaya disalin!