Kelantan mohon LPT3 dipercepat sejak Oktober 2024 - Exco Kerjaraya
-
11 August 2026
-
Oleh: Norzana Razaly
-
49
KOTA DARULNAIM, 11 Ogos — Kerajaan Negeri Kelantan telah mengemukakan permohonan kepada Kerajaan Persekutuan pada 13 Oktober 2024 bagi mempercepatkan pelaksanaan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) sebagai sebahagian usaha memastikan kesinambungan rangkaian lebuh raya Pantai Timur hingga ke Kelantan.
Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar YB Dato’ Dr Izani Husin berkata, LPT3 merupakan projek infrastruktur strategik yang menjadi keutamaan kerajaan negeri bagi meningkatkan kecekapan perhubungan rakyat serta merangsang pertumbuhan sosioekonomi Kelantan.
“Pada 13 Oktober 2024, Kerajaan Negeri telah mengemukakan permohonan kepada Kerajaan Persekutuan bagi mempercepatkan pelaksanaan Projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) demi memastikan kesinambungan rangkaian lebuh raya di Pantai Timur serta meningkatkan tahap aksesibiliti dan mobiliti di Negeri Kelantan.
“Di samping itu, Kerajaan Negeri turut membangkitkan cadangan pelaksanaan Projek LPT3 dalam Mesyuarat Tindakan Pembangunan Negeri Kelantan (MTPNG) sebagai salah satu agenda pembangunan utama negeri. Usaha ini bertujuan mendapatkan sokongan Kerajaan Persekutuan agar projek tersebut dapat diteruskan demi meningkatkan kesalinghubungan, merangsang pertumbuhan ekonomi serta menjamin kesejahteraan rakyat Negeri Kelantan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Bunut Payong YB Shaari Mat Yaman pada Persidangan Kali Kedua bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Yang Kelima Belas Tahun 2026, di sini, hari ini.
Menurutnya, kerajaan negeri turut mengadakan sesi libat urus strategik dengan pihak Kerajaan Persekutuan termasuk menerusi Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) bagi menggerakkan usaha merealisasikan projek berkenaan.
Beliau juga memaklumkan, cadangan LPT3 turut diangkat sebagai antara agenda utama dalam Mesyuarat Tindakan Pembangunan Negeri Kelantan (MTPNG), sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan projek tersebut terus diberi perhatian di peringkat Persekutuan.








