Accessibility Tools

Skip to main content

65 jengkaut lombong haram bernilai RM15.8 juta disita

  • 11 August 2026
  • Oleh: Irham Hilmi Hashim
  • 35

KOTA DARULNAIM, 11 Ogos – Kerajaan Negeri Kelantan menyita sebanyak 65 buah jengkaut yang dianggarkan bernilai RM15.8 juta secara keseluruhan dalam usaha membendung kegiatan pencerobohan serta perlombongan haram bagi tempoh 2025 sehingga Jun 2026.

Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Mohamed Fadzli Dato’ Hassan berkata, tindakan berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri melalui agensi penguatkuasaan berkaitan untuk memperkuat dan memperketatkan tindakan di lapangan.

Menurutnya, sebanyak 77 operasi penguatkuasaan berjaya dijalankan sepanjang tempoh berkenaan bagi menangani kegiatan pencerobohan dan perlombongan haram.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Paloh YB Dato’ Shaari Mat Hussain pada Persidangan Kali Kedua Bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan, hari ini.

Menurutnya, tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan turut disusuli tindakan perundangan terhadap pihak yang terlibat dengan kegiatan berkenaan.

“Rentetan daripada operasi tersebut, tindakan perundangan yang tegas telah diambil di mana sebanyak 63 Kertas Siasatan (IP) dibuka dan diserahkan kepada Unit Pendakwaan PTG Kelantan untuk tindakan mahkamah selanjutnya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, penyitaan aset merupakan antara tindakan penting yang dilaksanakan bagi melumpuhkan keupayaan logistik pihak yang melakukan pencerobohan dan kegiatan perlombongan haram.

Jelasnya, tindakan merampas 65 buah jentera jengkaut yang dianggarkan bernilai RM10.4 juta secara keseluruhan itu turut bertujuan menyekat kegiatan haram daripada terus beroperasi di lapangan.

Sementara itu, menurutnya lagi, operasi penguatkuasaan terhadap aktiviti perlombongan haram kebiasaannya dilaksanakan di kawasan yang dikenal pasti sebagai hotspot.

Antara kawasan yang menjadi fokus operasi tersebut ialah Jajahan Gua Musang, Kuala Krai, Jeli dan Tanah Merah.

Beliau menegaskan Kerajaan Negeri Kelantan tidak akan bertolak ansur terhadap kegiatan yang mengancam kelestarian serta khazanah hasil bumi negeri.

“Pihak kerajaan negeri tidak akan bertolak ansur dan akan terus memperketatkan kawalan bagi memastikan khazanah hasil bumi negeri sentiasa terpelihara,” jelasnya.

Pautan berjaya disalin!