Tiga platform PKINK sediakan, bantu usahawan beralih ke ekonomi digital – Dato’ Md Anizam
-
11 August 2026
-
Oleh: Syamimi Manah
-
38
KOTA DARULNAIM, 11 Ogos - Tiga platform di bawah Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) menjadi antara pemangkin kepada usaha membantu usahawan tempatan beralih ke arah ekonomi digital, sekali gus meningkatkan jualan dan memperluas pasaran produk mereka.
Exco Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan YB Mejar (B) Dato’ Md Anizam Ab Rahman berkata, usaha berkenaan dilaksanakan menerusi peranan Bahagian Pembangunan Usahawan dan Pelaburan PKINK, Kelantan ICT Gateway Sdn. Bhd. serta KALA Sentral Sdn. Bhd.
Beliau berkata, sehingga tahun 2026, usahawan di bawah PKINK terdiri daripada usahawan kecil dan mikro dalam pelbagai bidang perniagaan termasuk perbekalan makanan, kosmetik, produk hiliran serta kelengkapan rumah.
“Bahagian Pembangunan Usahawan dan Pelaburan PKINK mengambil peranan sebagai pemudah cara bagi membantu para usahawan ke arah yang lebih glokal dan global.
“Kelantan ICT Gateway Sdn. Bhd. pula menjadi penggerak dalam membangunkan pelbagai fungsi termasuk program pembayaran tanpa tunai (cashless), manakala KALA Sentral Sdn. Bhd. berperanan sebagai pusat sehenti dan pusat pengumpulan produk lokal serta hiliran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Wakaf Bharu YB Mohd Rusli Abdullah pada Persidangan Kali Yang Kedua bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Yang Kelima Belas Tahun 2026 di Kota Darulnaim, hari ini.
Menurutnya, KALA Sentral turut membantu pembangunan produk usahawan, mengadakan jualan serta mengembangkan pasaran produk tempatan agar dapat menembusi pasaran yang lebih luas.
Dalam pada itu, beliau berkata Kerajaan negeri melalui PKINK turut memberi peluang kepada usahawan tempatan memperluas jaringan perniagaan dan pasaran menerusi penyertaan dalam pelbagai program bertaraf negeri, kebangsaan dan antarabangsa.
Antara platform yang disertai termasuk SPARX (Invest Selangor Industrial Park Expo), MARA Halal Expo Kuala Lumpur, Malaysia Agriculture, Horticulture and AgroTourism (MAHA), Malaysia International Halal Expo (MIHAS), Kelantan Authentic Lifestyle Arts Expo (KALA FEST), Penang Halal International Expo (PIHEC), Kemayoran Jakarta Halal International Expo (JIIHEX) serta HAPEX 26 di Hat Yai, Thailand.
“Penyertaan dalam program dan ekspo seperti ini memberi ruang kepada usahawan tempatan untuk memperkenalkan produk, membina rangkaian perniagaan serta meneroka peluang pasaran baharu di luar Kelantan.
“Usaha ini selaras dengan komitmen Kerajaan Negeri untuk membantu usahawan kecil dan mikro menyesuaikan diri dengan perubahan landskap perniagaan serta memanfaatkan teknologi dalam mengembangkan perniagaan,” ujarnya.
Beliau juga memaklumkan, penguasaan teknologi dan penggunaan platform digital perlu terus diperkasakan bagi memastikan usahawan tempatan mampu kekal berdaya saing di pasaran domestik dan berpotensi menembusi pasaran luar negara.








