Accessibility Tools

Skip to main content

51.79 peratus tanah Kelantan diliputi kawasan berhutan

  • 11 August 2026
  • Oleh: Asri Hamat
  • 52

KOTA DARULNAIM, 11 Ogos — Kelantan mempunyai kawasan berhutan seluas 778,708.34 hektar atau 51.79 peratus daripada keseluruhan keluasan negeri, sekali gus meletakkannya sebagai negeri dengan liputan kawasan berhutan ketiga terbesar di Semenanjung Malaysia.

Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, keluasan tersebut turut menyokong aspirasi negara ke arah pelepasan karbon sifar bersih (net zero carbon) melalui usaha mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG).

Menurutnya, kerajaan negeri komited mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus keluasan kawasan berhutan selaras dengan Dasar Perhutanan Semenanjung Malaysia.

Katanya, menerusi Teras Satu Kelestarian Sumber Hutan, kawasan hutan dan litupan pokok perlu dikekalkan, diurus serta ditingkatkan secara terancang sejajar dengan komitmen negara untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus keluasan tanah sebagai hutan dan litupan pokok.

“Langkah ini bagi mengekalkan kehijauan bumi dan kestabilan alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Chetok YB Zuraidin Abdullah pada Persidangan Kali Kedua Bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Yang Kelima Belas Tahun 2026, hari ini.

Mengulas lanjut, Dato' Mohd Nassuruddin berkata, kerajaan negeri melalui Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan sedang melaksanakan empat strategi bagi memastikan kawasan berhutan terus dikekalkan dan ditingkatkan.

“Pertama, mengenal pasti kawasan tanah kerajaan yang berpotensi untuk diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal.
Kedua, melaksanakan pewartaan hutan perlindungan mengikut kelas fungsi hutan mengikut Seksyen 10(1) di bawah Enakmen Perhutanan Negara (Pemakaian) (Pindaan) No. 3 Tahun 2025.

“Ketiga, melaksanakan program pemulihan hutan terosot dan penanaman semula pokok melalui Kempen Penghijauan Malaysia. Keempat, melaksanakan aktiviti operasi hutan untuk membanteras aktiviti teroka haram,” jelasnya.

Pautan berjaya disalin!