Accessibility Tools

Skip to main content

MB Kelantan hargai jasa tokoh perundangan pertahan EKJS di Mahkamah Persekutuan

  • 11 August 2026
  • Oleh: Syamimi Manah
  • 41

KOTA DARULNAIM, 11 Ogos: Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud menzahirkan penghargaan kepada tokoh perundangan dan para peguam yang menyumbang dalam usaha mempertahankan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 (EKJS) di Mahkamah Persekutuan.

Beliau berkata, sumbangan serta pengorbanan yang dicurahkan oleh para peguam menerusi penghujahan yang bernas, selain masa dan tenaga yang diluangkan, amat dihargai Kerajaan Negeri dalam usaha mempertahankan kedaulatan undang-undang syariah dan hak negeri.

“Kerajaan negeri merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada institusi-institusi yang menjadi Sahabat Mahkamah dalam usaha mempertahankan EKJS di Mahkamah Persekutuan.

“Ucapan terima kasih tidak terhingga dirakamkan kepada para peguam yang berdiri bersama Kerajaan Negeri dengan memberikan penghujahan yang bernas, berkorban masa dan keringat demi mempertahankan kedaulatan undang-undang syariah dan hak negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Meraikan Kepimpinan dan Tokoh Perundangan Sempena Pembentangan Rang Undang-Undang Kesalahan Syariah (Kelantan) Tahun 2026 di sebuah hotel di Kota Bharu, semalam.

Menurutnya, majlis tersebut merupakan satu pertemuan penuh bermakna bersama barisan kepimpinan dan tokoh perundangan yang diraikan Kerajaan Negeri sempena pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan Syariah (Kelantan) 2026 yang dijadualkan berlangsung pada hari pertama Persidangan Dewan Negeri Kelantan.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua yang hadir memenuhi undangan, termasuk Tuan-tuan Guru Pondok, tokoh kepimpinan dan tokoh perundangan.

Katanya, kehadiran golongan berkenaan pada majlis tersebut menjadi ruang untuk menghargai sumbangan serta kebersamaan mereka dalam mendukung usaha berkaitan perundangan syariah di Kelantan.

“Sama-sama kita doakan kelancaran Persidangan Dewan Negeri esok bagi pembentangan RUU Kesalahan Syariah (Kelantan) 2026,” ujarnya.

RUU Kesalahan Syariah (Kelantan) 2026 dijadualkan dibentangkan pada hari pertama Persidangan Dewan Negeri Kelantan Kali Kedua Penggal Keempat yang dijadualkan berlangsung hari ini.

Pautan berjaya disalin!