Pembangunan sekolah perlukan sokongan semua pihak -Exco Pendidikan
-
10 August 2026
-
Oleh: Asri Hamat
-
48
KOTA DARULNAIM,10 Ogos - Pembangunan sesebuah sekolah bukan sekadar membina bangunan baharu, sebaliknya menyediakan ruang lebih baik dan selesa untuk anak-anak menimba ilmu, membentuk peribadi serta mempersiapkan masa depan mereka.
Demikian kenyataan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, YB Dato' Wan Roslan Wan Hamat ketika merujuk pembangunan Sekolah Rendah Ugama (A) Darul Ulum Diniah (SRUDUD), Padang Siam, Tanah Merah.
Beliau menegaskan, usaha tersebut memerlukan sokongan semua pihak termasuk ibu bapa, alumni, masyarakat setempat dan golongan dermawan.
Menurutnya, sumbangan boleh diberikan mengikut kemampuan masing-masing bagi membantu usaha pembangunan sekolah berkenaan.
"Setiap sumbangan yang diberikan untuk pendidikan, in sha Allah menjadi amal kebajikan yang manfaatnya terus berkembang melalui ilmu yang dipelajari dan diamalkan," katanya dalam media sosial, hari ini.
Terdahulu, beliau merasmikan Mesyuarat Agung PIBG Kali Ke-25 bagi Tahun 2026 dan Anugerah Kecemerlangan 2025 SRUDUD yang berlangsung di Dewan Akademik SRUDUD.
Turut hadir, Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Panau yang juga Pengerusi PIBG SRUDUD YB Dato’ Abdul Fattah Mahmood, Pengarah Yayasan Islam Kelantan (YIK) Shamsul Abu Bakar serta barisan pentadbir sekolah, guru, ibu bapa serta warga sekolah.
Ujar Dato' Wan Roslan lagi, kebersamaan pihak sekolah, PIBG, ibu bapa dan masyarakat perlu terus menjadi kekuatan kepada SRUDUD dalam melahirkan generasi berilmu, berakhlak dan bertakwa.
Tambahnya, PIBG turut menjadi jambatan penting yang menghubungkan ibu bapa dan guru dalam memastikan pendidikan anak-anak bukan sahaja mengejar kecemerlangan akademik, malah memberi perhatian kepada pembinaan akhlak, adab dan sahsiah.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada pelajar yang menerima Anugerah Kecemerlangan 2025.
"Setiap kejayaan yang diraih tentunya hasil kesungguhan para pelajar, bimbingan para guru serta doa dan pengorbanan ibu bapa," katanya.
Majlis turut diserikan dengan Jamuan Gulai Kawah sambil Menderma sebagai inisiatif mengumpul dana untuk Tabung PIBG, Pembangunan dan Kecemerlangan SRUDUD, khususnya bagi membantu usaha pembangunan bangunan baharu sekolah.
Dato' Wan Roslan turut mendoakan agar segala perancangan pembangunan SRUDUD dipermudahkan Allah SWT serta setiap usaha dan sumbangan yang diberikan mendapat keberkatan.
















