Alif Rakib cetus inspirasi anak muda Gual Periok kejar impian – YB Kamaruzaman
-
10 August 2026
-
Oleh: Syamimi Manah
-
44
RANTAU PANJANG, 10 Ogos - Kejayaan Ahmad Nor Iman Aliff Rakib atau lebih dikenali sebagai Alif Rakib di pentas seni bela diri antarabangsa menjadi sumber inspirasi kepada anak muda di Gual Periok untuk terus berusaha dan berani mengejar impian masing-masing.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Gual Periok YB Kamaruzaman Mohamad berkata, pencapaian membanggakan Alif Rakib membuktikan bahawa anak muda tempatan mampu mencapai kejayaan sekiranya disertai usaha, pengorbanan dan doa.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Kesyukuran Alif Rakib dan keluarga di Taman Sri Rantau Gual Tinggi, di sini, bersama pasukan Pusat Khidmat DUN Gual Periok, hari ini.
“Setinggi-tinggi tahniah dan ucapan selamat buat saudara Alif Rakib dan keluarga atas sebuah pencapaian yang pastinya hadir setelah melalui pelbagai usaha, pengorbanan dan doa.
“Semoga kejayaan ini menjadi pembuka jalan kepada lebih banyak kejayaan pada masa akan datang, serta terus menjadi inspirasi kepada anak-anak muda untuk berusaha mengejar impian,” katanya di laman rasmi, hari ini.
Alif Rakib mencipta kejayaan membanggakan apabila menewaskan legenda Muay Thai Thailand Sam-A Gaiyanghadao dalam aksi ONE Championship di Stadium Lumpinee, Bangkok, pada 24 Julai.
Kemenangan tersebut menyaksikan Alif Rakib dinobatkan sebagai juara dunia interim Muay Thai Strawweight ONE Championship, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara atlet muda Malaysia yang mencipta nama di pentas antarabangsa.
Menurut YB Kamaruzaman, kejayaan tersebut bukan sekadar pencapaian dalam bidang sukan, sebaliknya membawa mesej bahawa anak muda dari kawasan luar bandar juga mempunyai potensi untuk pergi jauh dan mencipta nama di peringkat dunia.
Katanya, kisah kejayaan Alif Rakib wajar dijadikan contoh oleh generasi muda agar tidak takut untuk memasang impian yang tinggi dan berusaha bersungguh-sungguh untuk merealisasikannya.
Dalam majlis berkenaan, beliau turut menyampaikan sedikit sumbangan daripada Pusat Khidmat DUN Gual Periok sebagai tanda ingatan dan sokongan kepada Alif Rakib serta keluarganya.
“Semoga terus melangkah maju dan dipermudahkan segala urusan. Tahniah Alif Rakib dan keluarga,” ujarnya.








