Gelanggang Sepak Takraw Perupok kini aktif dimanfaatkan masyarakat – YB Mohd Rusli
-
10 August 2026
-
Oleh: Syamimi Manah | Kredit foto: Media ADN Wakaf Bharu
-
44
TUMPAT, 10 Ogos — Gelanggang Sepak Takraw Perupok kini aktif dimanfaatkan masyarakat setempat khususnya golongan muda untuk menjalankan aktiviti riadah dan sukan sejak dirasmikan pada 6 Jun.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Wakaf Bharu YB Mohd Rusli Abdullah berkata, perkembangan itu membuktikan kemudahan yang disediakan memberi manfaat kepada anak-anak muda dan masyarakat.
Beliau berkata demikian menerusi laman sosial selepas merasmikan Kejohanan Sepak Takraw Tertutup Bakat Baru SEKMOKSU 2026 di Gelanggang Sepak Takraw Perupok pada Jumaat.
Menurutnya, selepas dirasmikan, gelanggang berkenaan kini digunakan sebagai lokasi anak-anak muda beriadah dan bersukan setiap hari.
“Alhamdulillah, selepas dirasmikan baru-baru ini, gelanggang ini kini menjadi tempat anak-anak muda beriadah dan bersukan setiap hari.
“Hari ini pula, disusuli dengan penganjuran Kejohanan Sepak Takraw Tertutup Bakat Baru SEKMOKSU 2026,” katanya.
YB Mohd Rusli berkata, penganjuran kejohanan berkenaan turut memperlihatkan bagaimana kemudahan sukan yang disediakan dapat menjadi ruang kepada masyarakat untuk mengadakan aktiviti secara tersusun, selain membuka peluang kepada anak muda mencungkil dan mengembangkan bakat dalam bidang sukan.
Katanya, keadaan itu selaras dengan hasrat supaya setiap kemudahan yang disediakan untuk rakyat benar-benar digunakan dan memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.
“Inilah yang kita harapkan apabila sesuatu kemudahan disediakan, bukan sekadar dibina, tetapi benar-benar dimanfaatkan oleh anak-anak muda dan masyarakat,”jelasnya.
Beliau juga memaklumkan, usaha menyediakan lebih banyak kemudahan untuk manfaat rakyat akan terus diberi perhatian, khususnya kemudahan yang mampu mewujudkan ruang sihat untuk aktiviti riadah, sukan dan penglibatan komuniti.












