Lebih 200 penduduk Kemahang manfaatkan pemeriksaan kesihatan percuma USM-MERICAN
-
10 August 2026
-
Oleh: Irham Hilmi Hashim | Kredit foto: Media Exco
-
35
KOTA DARULNAIM, 10 Ogos – Lebih 200 penduduk memanfaatkan peluang mendapatkan pemeriksaan kesihatan secara percuma menerusi Program Komuniti USM-MERICAN.
Exco Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan merangkap Ahli Dewan Negeri (ADN) Kemahang YB Dato’ Md Anizam Ab Rahman berkata, program berkenaan memberi peluang kepada masyarakat setempat mendapatkan pemeriksaan kesihatan yang dikendalikan doktor-doktor pakar dari Universiti Sains Malaysia (USM).
Menurutnya, peluang seperti itu wajar dimanfaatkan masyarakat bagi mengetahui tahap kesihatan diri serta mendapatkan nasihat daripada pakar kesihatan yang hadir.
“Kesihatan adalah aset yang sangat berharga. Jadi, marilah kita manfaatkan peluang ini untuk mengetahui tahap kesihatan masing-masing serta mendapatkan nasihat daripada pakar kesihatan yang hadir,” katanya dalam media sosial selepas menghadiri program berkenaan di Dewan Muhibbah, FELDA Kemahang 1, Jumaat lalu.
Beliau berkata, pemeriksaan kesihatan secara percuma yang disediakan melalui program komuniti tersebut memberi manfaat kepada penduduk, khususnya dalam meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan menjaga kesihatan diri dan keluarga.
Dalam pada itu, masyarakat tidak seharusnya melepaskan peluang yang disediakan menerusi program sebegitu kerana pemeriksaan kesihatan membolehkan mereka mendapatkan gambaran mengenai tahap kesihatan masing-masing serta menerima pandangan daripada golongan profesional dalam bidang kesihatan.
Sehubungan dengan itu, beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak USM-MERICAN kerana memilih DUN Kemahang sebagai lokasi penganjuran program komuniti berkenaan.
Beliau berpuas hati dengan kehadiran lebih 200 penduduk sekali gus menunjukkan program seumpama itu mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat setempat, selain memberi ruang kepada mereka mendapatkan perkhidmatan kesihatan secara lebih mudah.
Beliau berharap kerjasama antara pihak USM-MERICAN dengan komuniti setempat dapat diteruskan pada masa akan datang demi memberikan manfaat serta menyokong kesejahteraan masyarakat Kemahang.
“Setinggi-tinggi penghargaan dan ribuan terima kasih kepada pihak USM-MERICAN kerana memilih DUN Kemahang sebagai lokasi program komuniti ini. Semoga kerjasama seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang demi manfaat dan kesejahteraan masyarakat Kemahang,” katanya.












