Accessibility Tools

Skip to main content

Mahkota Kesultanan Kelantan antara tarikan Festival Senjata Warisan

  • 10 August 2026
  • Oleh: Asri Hamat | Kredit foto: Media Pejabat Sultan Kelantan
  • 45

KOTA BHARU, 10 Ogos - Orang ramai khususnya rakyat Negeri Kelantan berpeluang menyaksikan Mahkota Kesultanan Kelantan apabila busana kebesaran itu bakal dipamerkan kepada orang ramai buat julung kalinya sempena Festival Senjata Warisan Kelantan 2026 yang akan berlangsung di Istana Balai Besar, di sini, dari 16 Ogos hingga 5 September ini.

Media Pejabat Sultan Kelantan memaklumkan, pameran khas berkenaan menjadi antara tarikan utama festival yang turut menampilkan pelbagai senjata tradisional, pitis serta khazanah warisan Kelantan untuk tatapan pengunjung.

Menurutnya festival berkenaan mengetengahkan keunikan dan keindahan warisan Negeri Kelantan yang sarat dengan nilai sejarah, seni dan budaya.

"Pengunjung berpeluang menyaksikan dengan lebih dekat khazanah kebesaran Kesultanan Kelantan menerusi pameran khas mahkota berkenaan, selain pelbagai bahan warisan yang dipamerkan sepanjang festival," menurut kenyataan tersebut, semalam.

Selain pameran, pelbagai aktiviti menarik dan persembahan tradisional turut diadakan sepanjang festival tersebut termasuk demonstrasi menenun songket, demonstrasi menghasilkan kain kelingkan serta bengkel Busana Melayu Kelantan.

Persembahan tradisional dan pelbagai aktiviti warisan lain turut diadakan bagi memberi peluang kepada pengunjung mengenali serta menghayati seni, budaya dan warisan tradisi Kelantan.

Festival berkenaan berlangsung dari pukul 9 pagi hingga 10 malam dan masuk adalah percuma.

Orang ramai dipersilakan hadir beramai-ramai bagi menyaksikan pelbagai khazanah warisan yang dipamerkan serta memeriahkan Festival Senjata Warisan Kelantan 2026.

Pautan berjaya disalin!