Kelantan peruntuk RM1 juta setahun program baja organik, rakyat diseru buat permohonan
-
09 August 2026
-
Oleh: Asri Hamat | Kredit foto: Media Dato' Tuan Saripudin
-
61
PASIR PUTEH, 9 Ogos - Kerajaan Negeri Kelantan memperuntukkan RM1 juta setahun bagi Program Bantuan Baja Organik bagi membantu petani mendapatkan input pertanian berkualiti selain memulihara kesuburan tanah.
Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato' Tuan Saripudin Tuan Ismail berkata, peruntukan program itu sebelum ini berjumlah RM1.6 juta ketika beliau mula memegang portfolio berkenaan pada 2018.
Bagaimanapun, katanya, peruntukan itu dikurangkan selepas terdapat lebihan bajet yang tidak dibelanjakan pada satu tahun.
"Bajet saya untuk program Baja organik tidak habis, sekitar RM600,000. Yang habis itu hanya RM1 juta, akhirnya dipotong tinggal RM1 juta.
"Saya bimbang kalau tidak habis bajet kerana tuan-tuan tidak memohon, ia boleh mengakibatkan peruntukan dipotong."
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pelancaran Program Baja Organik dan Baja Foliar Padi peringkat Negeri Kelantan di Dewan Jeram Mengaji Agro Resort, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat yang terbabit dalam sektor pertanian supaya mengambil peluang memohon bantuan baja berkenaan, selain meminta agensi berkaitan bersama wakil rakyat meneruskan kempen bagi memastikan program itu dimanfaatkan sepenuhnya.
Katanya, pemohon yang tidak mempunyai borang boleh mendapatkan borang permohonan melalui Kelantan Biotech Corporation Sdn Bhd (KBCSB), Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPKB) atau Jabatan Pertanian.
Pemohon juga boleh mengisi permohonan melalui Pusat Khidmat DUN dan Pejabat Pertanian Jajahan masing-masing untuk mendapatkan borang permohonan.
Kata Dato' Tuan Mohd Saripudin lagi, kerajaan negeri memberi mandat kepada Jabatan Pertanian Negeri Kelantan bersama KBC untuk menguruskan bekalan baja organik yang dihasilkan di kilang milik sendiri di Labok, Machang.
Menurutnya, kualiti baja yang dibekalkan sentiasa ditambah baik setiap tahun menerusi penyelidikan dan pembangunan (R&D) di Kelantan Organic Research Centre di Labok, Machang.
Menurutnya lagi, semua jenis tanah memerlukan kepada baja organik kerana ia bersifat semula jadi.
"Walaupun di era moden ini, kita tidak boleh meninggalkan baja organik walaupun dikatakan sebagai cara tradisional kerana ia menjaga kesihatan, kualiti dan juga alam sekitar," jelasnya.
Beliau turut berharap agensi berkaitan, khususnya Jabatan Pertanian dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), terus memberikan panduan serta khidmat teknikal pertanian terkini tanpa mengabaikan kaedah yang dapat menjaga kepentingan pengguna, petani, pesawah, peladang dan alam sekitar.
Katanya lagi, permohonan bantuan baja organik masih dibuka dan petani yang belum membuat permohonan digalakkan berbuat demikian.
"Kita buka permohonan ini empat kali setahun. Kalau permohonan tahun ini tidak sempat diuruskan, kita bawa ke tahun hadapan kerana para petani kita memerlukan baja yang akan membaik pulih tanah dan menghasilkan sumber makanan yang berkualiti," ujarnya.
Untuk rekod, sejak diperkenalkan pada 2017 sehingga kini, Program Bantuan Baja Organik memberi manfaat kepada lebih 10,634 petani termasuk 1000 orang pada hari ini dengan jumlah keluasan kawasan yang diluluskan sebanyak 22,108.96 ekar.
Sepanjang tempoh itu, sebanyak 60,494 beg baja organik dan 2,528 botol baja diluluskan untuk diagihkan kepada petani, membabitkan jumlah keseluruhan 1,347,726 kilogram baja dengan nilai kelulusan RM2,202,934.
Hadir sama, Timbalan Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato' Shaari Hussin, Ahli-ahli Dewan (ADN) Negeri Kelantan, Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) Dr Mohd Zulkufli Zakaria, Pengurus Besar Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPKB) Mohd Mukhlis Mukhtar, Timbalan Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Kelantan Murniwati Muhamad dan Pemangku Pengurus Kelantan Biotech Corporation Sdn. Bhd. Afzanizan Arif.














