2,000 peminat RXZ dijangka sertai 'Subuh Srupo Jumaat Bersama MB Kelantan'
-
09 August 2026
-
Oleh: Norzana Razaly | Kredit foto: Media YB Zamakhshari
-
66
KOTA DARULNAIM, 9 Ogos - Dianggarkan 2,000 peminat permotoran khususnya komuniti RXZ dan kelab motosikal di Kelantan dijangka menyertai Program Subuh Srupo Jumaat Bersama Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud di Masjid Al-Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian pada 21 Ogos ini.
Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad berkata, program anjuran Kelab Pemilik RXZ Forever Legend itu mengetengahkan pendekatan dakwah santai dengan menghimpunkan komuniti permotoran, golongan belia, kelab motosikal dan masyarakat dalam pengisian berteraskan nilai Islam.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan mesyuarat berkaitan penganjuran program tersebut di Mabna, di sini, hari ini.
Menurutnya, program dijadualkan bermula seawal pukul 4.00 pagi dengan pendaftaran peserta di Dataran Warisan, Stadium Sultan Muhammad IV sebelum mereka bergerak ke Masjid Al-Sultan Ismail Petra.
“Ketibaan para undangan dan peserta akan disusuli dengan ketibaan Menteri Besar Kelantan sekitar pukul 5.15 pagi.
“Antara pengisian utama program ialah solat Subuh secara berjemaah, kuliah khas oleh Menteri Besar Kelantan, majlis selawat, cabutan bertuah, penyampaian cenderahati serta sarapan pagi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
YB Zamakhshari juga memaklumkan, program itu menjadi platform untuk mendekatkan kerajaan negeri dengan komuniti permotoran dan golongan belia melalui pendekatan dakwah yang lebih santai serta bersesuaian dengan minat generasi muda.
Beliau optimis pendekatan sedemikian penting bagi membuka ruang penyertaan belia dalam aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan melalui wadah yang dekat dengan kehidupan serta minat mereka.
Sementara itu, Pengerusi Kelab Pemilik RXZ Kelantan Asmal Azim Hasim berkata, penganjuran program berkenaan membawa misi menjadikan komuniti permotoran sebagai salah satu medium dakwah dan perpaduan ummah, di samping membudayakan amalan solat Subuh berjemaah.
“Program ini menyasarkan penyertaan daripada pemilik dan peminat motosikal RXZ serta turut melibatkan kelab-kelab motosikal di Kelantan, komuniti belia, komuniti masjid dan orang awam.
“Penganjuran program ini juga selaras dengan usaha mengimarahkan masjid dan mendekatkan golongan belia kepada aktiviti keagamaan melalui pendekatan yang lebih terbuka dan inklusif,” katanya.
Jelasnya, penganjur turut menyasarkan Subuh Srupo Jumaat berkembang sebagai antara program komuniti permotoran berteraskan Islam terbesar di Kelantan.
Beliau berharap, inisiatif itu dapat memperlihatkan minat terhadap dunia permotoran boleh digerakkan seiring dengan pembinaan sahsiah, pengukuhan ukhuwah dan kegiatan kemasyarakatan yang memberi manfaat kepada masyarakat.











