Accessibility Tools

Skip to main content

Exco puji usaha Persatuan Hakka KB semarakkan aktiviti belia melalui sukan

  • 09 August 2026
  • Oleh: Irham Hilmi Hashim | Kredit foto: Media YB Zamakhshari
  • 34

KOTA DARULNAIM, 9 Ogos – Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad memuji usaha Persatuan Hakka KB menganjurkan Kejohanan Bola Keranjang 3on3 yang bukan sahaja menyemarakkan aktiviti sukan dalam kalangan masyarakat, malah menjadi wadah memperkukuh perpaduan.

Menurutnya, penganjuran kejohanan tersebut membuktikan aktiviti sukan mampu menghimpunkan masyarakat daripada pelbagai latar belakang dalam suasana harmoni dan penuh semangat kemasyarakatan.

Beliau berkata demikian dalam media sosial selepas menyaksikan Kejohanan Bola Keranjang 3on3 anjuran Persatuan Hakka KB di SJK(C) Chung Cheng, Kota Bharu, pada Jumaat.

Menurutnya, kemeriahan kejohanan dapat dilihat menerusi kehadiran rakan sepasukan serta ahli keluarga yang memberikan sokongan kepada para pemain sejak awal pagi.

“Selain menyaksikan aksi lincah dan bersemangat para pemain di gelanggang, kemunculan 30 maskot ‘Mixue Snow King’ turut menceriakan suasana serta menghiburkan para pengunjung yang hadir,” katanya.

Beliau turut menyifatkan sukan sebagai platform penting dalam membentuk ketahanan fizikal dan disiplin golongan muda, selain mempunyai peranan lebih luas dalam mengeratkan hubungan masyarakat.

“Sukan bukan sahaja platform terbaik untuk membina ketahanan fizikal dan disiplin anak muda, malah menjadi wadah ampuh dalam menyatukan pelbagai lapisan masyarakat dalam suasana harmoni dan muhibah,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada Persatuan Hakka KB serta seluruh jawatankuasa penganjur atas usaha gigih menjayakan kejohanan berkenaan.

Tambahnya, penganjuran aktiviti sukan yang melibatkan masyarakat secara bersama perlu terus disokong kerana ia dapat membantu menyemarakkan aktiviti belia, di samping memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat di negeri ini.

Pautan berjaya disalin!