Accessibility Tools

Skip to main content

Kepelbagaian kaum bukan jurang memisah, sebaliknya kekuatan menyatukan masyarakat

  • 09 August 2026
  • Oleh: Asri Hamat | Kredit foto: Media YB Zamakhshari
  • 45

KOTA DARULNAIM, 9 Ogos - Kepelbagaian kaum bukan jurang yang memisahkan masyarakat, sebaliknya kekuatan yang menyatukan rakyat dalam mewujudkan kehidupan yang aman dan harmoni.

Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad berkata, hubungan erat antara masyarakat berbilang kaum tidak terbina dalam sehari, sebaliknya perlu dipupuk secara berterusan menerusi sikap saling menghormati, bertanya khabar dan kesediaan untuk terus mengenali antara satu sama lain.

Katanya, Islam sendiri mengajar bahawa manusia dijadikan berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya mereka saling mengenali.

“Hubungan erat antara masyarakat yang berbilang kaum bukan terbina dalam sehari, tetapi dipupuk melalui sikap saling menghormati, saling bertanya khabar dan kesediaan untuk terus mengenali antara satu sama lain.

Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, YB Zamakhshari Muhamad

“Kepelbagaian bukanlah jurang yang memisahkan, sebaliknya kekuatan yang menyatukan,” katanya dalam media sosial pada Jumaat.

Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Makan Malam Sambutan Ulang Tahun Ke-66 Persatuan Kwang Tung bersama komuniti Tiong Hwa Kelantan serta wakil Persatuan Kwang Tung dari beberapa negeri di Dewan Perniagaan Cina Kota Bharu.

Beliau turut berharap Kelantan terus kekal sebagai negeri yang aman, makmur dan sejahtera dengan keharmonian antara masyarakat sentiasa dipelihara.

“Semoga Kelantan terus kekal sebagai negeri yang aman, makmur dan sejahtera, dengan keharmonian yang sentiasa terpelihara,” katanya.

Turut hadir, Ketua Pegawai Ekskutif Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) Dato' Sr Zamri Ismail.

Pautan berjaya disalin!