Accessibility Tools

Skip to main content

Atlet catur Kelantan digesa kekal fokus harumkan nama negeri di pentas SUKMA

  • 09 August 2026
  • Oleh: Irham Hilmi Hashim | Kredit foto: Media Dato' Tuan Saripudin
  • 45

KOTA DARULNAIM, 9 Ogos – Bapa Angkat Pasukan Catur Negeri Kelantan yang juga Exco kerajaan negeri YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail menyatakan keyakinannya terhadap kemampuan atlet catur Kontinjen Kelantan yang akan membawa cabaran negeri pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA).

Menurutnya, semangat, disiplin dan kesungguhan yang dipamerkan para atlet bersama barisan jurulatih sepanjang persiapan menghadapi pertandingan menjadi asas penting dalam usaha memburu kejayaan pada temasya berkenaan.

Beliau berkata demikian menerusi media sosial selepas mengadakan pertemuan bersama para atlet catur SUKMA Kontinjen Kelantan di Kota Darul Naim pada 6 Ogos lalu.

Selaku Bapa Angkat pasukan, beliau berbangga melihat komitmen yang ditunjukkan setiap atlet dan barisan jurulatih dalam membuat persiapan menghadapi pertandingan.

"Setiap latihan dan usaha yang telah dilalui perlu diteruskan dengan kesungguhan bagi memastikan atlet berada pada tahap terbaik apabila turun beraksi di pentas SUKMA. Para atlet perlu bermain dengan penuh keyakinan selain mengekalkan fokus dalam setiap langkah permainan kerana kecermatan dan ketenangan amat penting dalam menghadapi persaingan.

“Insya Allah, semoga segala usaha dan latihan yang telah dilalui membuahkan hasil yang terbaik. Bermainlah dengan penuh keyakinan, kekalkan fokus di setiap langkah dan harumkan nama Negeri Kelantan di pentas SUKMA,” ujarnya.

Beliau turut menyampaikan harapan agar seluruh atlet dan barisan jurulatih dapat memberikan komitmen terbaik sepanjang pertandingan serta menjadikan segala persiapan yang telah dilalui sebagai bekalan untuk menghadapi cabaran.

Tambahnya, sokongan dan doa daripada seluruh rakyat Kelantan sentiasa mengiringi perjuangan atlet negeri yang akan membawa nama Kelantan pada temasya berkenaan.

“Seluruh rakyat Kelantan sentiasa mendoakan kejayaan anda semua. Semoga pulang dengan membawa kecemerlangan dan mengibarkan panji Kelantan dengan penuh bangga,” katanya.

Beliau juga berharap semangat yang ditunjukkan para atlet dan jurulatih dapat diterjemahkan dalam setiap perlawanan, seterusnya membuahkan pencapaian terbaik buat Kontinjen Kelantan.

Pautan berjaya disalin!