Accessibility Tools

Skip to main content

Perpaduan kaum dipupuk melalui hubungan dan sikap saling menghormati - Exco Perpaduan

  • 09 August 2026
  • Oleh: Irham Hilmi Hashim | Kredit foto: Media YB Zamakhshari
  • 46

KOTA DARULNAIM, 9 Ogos – Perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum perlu dipupuk melalui amalan sederhana seperti saling bertanya khabar, menghormati antara satu sama lain serta memelihara hubungan baik dalam kehidupan bermasyarakat.

Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad berkata, hubungan erat antara masyarakat pelbagai kaum tidak terbina dalam tempoh yang singkat, sebaliknya memerlukan usaha berterusan untuk menyemai persefahaman dan mengukuhkan silaturahim.

Menurutnya, kepelbagaian kaum, budaya dan latar belakang tidak seharusnya dilihat sebagai faktor yang memisahkan masyarakat, sebaliknya menjadi kekuatan dalam membentuk sebuah masyarakat yang harmoni.

Beliau berkata demikian dalam media sosial selepas menghadiri Majlis Makan Malam Sambutan Ulang Tahun Ke-66 Persatuan Kwang Tung bersama komuniti Tiong Hwa Kelantan serta wakil Persatuan Kwang Tung dari beberapa negeri di Kota Bharu pada 7 Ogos.

“Kalau nak cerita tentang perpaduan, ia sebenarnya bermula dengan perkara yang paling sederhana, saling bertanya khabar, saling menghormati dan terus memelihara hubungan yang baik,” katanya.

Menurutnya, pertemuan sempena sambutan ulang tahun persatuan menjadi ruang meraikan pencapaian sesebuah pertubuhan dan turut berperanan sebagai medan untuk mempererat jalinan antara komuniti setempat.

“Kepelbagaian bukanlah satu perbezaan yang memisahkan, sebaliknya satu kekuatan yang menyatukan. Walaupun berbeza kaum, budaya dan latar belakang, kita berkongsi bumi yang sama dan hidup sebagai satu keluarga besar,” katanya.

Beliau turut menegaskan, Islam mengajar manusia untuk saling mengenali antara satu sama lain, justeru perbezaan kaum dan budaya wajar diraikan sebagai asas kepada keharmonian serta sikap saling menghormati.

“Islam juga mengajar bahawa manusia dijadikan berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar saling mengenali antara satu sama lain. Tiada sebab untuk kita menjadikan perbezaan sebagai jurang pemisah, sebaliknya ia wajar diraikan sebagai asas kepada keharmonian dan saling menghormati,” jelasnya.

Dalam majlis tersebut, Kerajaan Negeri Kelantan turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM10,000 kepada Persatuan Kwang Tung sebagai tanda sokongan terhadap usaha memupuk semangat muhibah dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum.

Menurutnya, sokongan tersebut mencerminkan usaha untuk terus menyuburkan nilai kebersamaan dan semangat muafakat dalam kalangan rakyat di negeri ini.

Beliau berharap nilai tersebut terus dipelihara agar Kelantan kekal sebagai sebuah negeri yang aman, makmur dan sejahtera untuk seluruh masyarakat tanpa mengira latar belakang.

“Hubungan erat antara masyarakat yang berbilang kaum bukan terbina dalam sehari, tetapi dipupuk melalui sikap saling menghormati, saling bertanya khabar dan kesediaan untuk terus mengenali antara satu sama lain,”ujarnya.

Pautan berjaya disalin!