Kelantan perluas kerjasama pendidikan dengan Korea Selatan
-
09 August 2026
-
Oleh: Irham Hilmi Hashim
-
53
KOTA DARULNAIM, 9 Ogos – Kerajaan Negeri Kelantan terus berusaha memperluas peluang pendidikan antarabangsa kepada anak negeri menerusi usaha memperkukuh hubungan dan kerjasama pendidikan dengan Republik Korea.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, usaha tersebut penting bagi membuka lebih banyak ruang kepada anak-anak Kelantan untuk mendapatkan pendidikan, latihan kemahiran serta pengalaman di peringkat antarabangsa.
Beliau berkata demikian selepas berkunjung hormat ke Kedutaan Republik Korea di Kuala Lumpur pada 7 Ogos.
“Pertemuan ini menjadi medan yang amat bermakna untuk bertukar pandangan, membincangkan persediaan para pelajar serta meneroka peluang kerjasama yang lebih luas, khususnya dalam bidang pendidikan, latihan kemahiran dan pembangunan modal insan,” katanya melalui media sosial selepas kunjungan berkenaan.
Turut hadir, Pengarah Yayasan Islam Kelantan (YIK) Shamsul Abu Bakar; Pengarah Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN) Nik Jessim Tan Sri Nik Hashim serta Presiden Alumni Graduan Institusi Korea (AGIKO) Ir. Zamri Abas serta sepuluh calon pelajar Kelantan yang bakal melanjutkan pengajian ke Korea Selatan.
Menurutnya, kehadiran calon pelajar dalam kunjungan tersebut turut memberi ruang untuk membincangkan persediaan mereka sebelum memulakan pengajian di Korea Selatan.
"Persediaan yang baik amat penting bagi memastikan para pelajar dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu serta memanfaatkan peluang pendidikan yang bakal diterima.
“Kerajaan Negeri Kelantan sentiasa komited untuk membuka lebih banyak peluang pendidikan berkualiti di peringkat antarabangsa kepada anak-anak Kelantan,” katanya.
Tambahnya, kerjasama yang diperluas dalam bidang pendidikan dan latihan kemahiran juga berpotensi memberi pendedahan lebih luas kepada anak-anak negeri untuk memperoleh ilmu, kemahiran dan pengalaman yang boleh dimanfaatkan selepas tamat pengajian.
Beliau berharap segala urusan 10 calon pelajar Kelantan yang bakal melanjutkan pengajian ke Korea Selatan dipermudahkan dan mereka dapat memanfaatkan sepenuhnya peluang tersebut.
“Semoga segala urusan para pelajar dipermudahkan dan mereka berjaya membawa pulang ilmu, kemahiran serta pengalaman yang bermanfaat untuk agama, negeri dan negara,” katanya.












