Pelajar YIK ke Korea Selatan diingatkan jaga jati diri, amanah al-Quran
-
09 August 2026
-
Oleh: Irham Hilmi Hashim
-
78
KOTA DARULNAIM , 9 Ogos – Pelajar Yayasan Islam Kelantan (YIK) yang bakal melanjutkan pengajian ke Dongyang Mirae University, Korea Selatan diingatkan supaya terus menjaga jati diri, akhlak dan amanah al-Quran sepanjang berada di luar negara.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, para pelajar perlu membuat persediaan dari aspek akademik dan memastikan disiplin, akhlak dan nilai Islam terus menjadi pegangan ketika berada di perantauan.
Menurutnya, perkara tersebut ditekankan ketika menghadiri Program Pra-Pelepasan Pelajar YIK ke Dongyang Mirae University di Dedaun Langat Resort, Hulu Langat, pada Jumaat.
“Walaupun berada jauh di perantauan dan berhadapan dengan suasana serta budaya yang berbeza, mereka hendaklah terus teguh dengan jati diri sebagai seorang Muslim, menjaga solat, batas pergaulan dan nilai-nilai Islam dalam setiap keadaan,” katanya dalam media sosial selepas menghadiri program berkenaan.
Menurutnya, program persediaan tersebut dilaksanakan melalui kerjasama YIK, Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN) dan Persatuan Alumni Graduan Institusi Korea (AGIKO) bagi memastikan para pelajar mempunyai persediaan yang sewajarnya sebelum memulakan pengajian di Korea Selatan.
Beliau berkata, program itu turut memberi pendedahan kepada para pelajar berkaitan budaya, bahasa, kehidupan harian, pengurusan diri serta cabaran pembelajaran di negara berkenaan.
Menurutnya, beliau turut berkesempatan menyampaikan amanat dan kata-kata semangat kepada para pelajar selain mendengar sendiri persiapan yang telah dibuat sebelum mereka berangkat melanjutkan pengajian.
Dalam pada itu, beliau yang turut mengingatkan para pelajar mengenai tanggungjawab sebagai anak Kelantan berkata, mereka perlu sentiasa menjaga nama baik keluarga serta negeri sepanjang berada di luar negara.
“Manfaatkanlah peluang ini dengan sebaik-baiknya untuk menimba ilmu, membina kemahiran dan memperluas pengalaman,” katanya.
Tambahnya, status para pelajar sebagai alumni Maahad Tahfiz YIK turut membawa amanah tersendiri, khususnya dalam memelihara hafalan al-Quran yang telah dipelajari.
“Hafalan tersebut bukan sekadar satu pencapaian, bahkan merupakan amanah besar yang perlu dipelihara dan dijadikan panduan dalam menjalani kehidupan serta menuntut ilmu di luar negara,” jelasnya.
Beliau berharap semua pelajar berkenaan dapat memanfaatkan peluang pengajian tersebut dengan sebaik-baiknya bagi memperoleh ilmu, kemahiran dan pengalaman yang berguna untuk masa hadapan.
Dato' Wan Roslan berharap pengalaman yang diperolehi sepanjang berada di Korea Selatan dapat menjadi bekalan kepada para pelajar anak Kelantan untuk kembali menyumbang kepada pembangunan agama, negeri dan negara.
“Semoga kesemua pelajar dipermudahkan segala urusan, dikurniakan kejayaan yang cemerlang serta kembali menyumbang kepada pembangunan agama, negeri dan negara,” ujarnya.












