Accessibility Tools

Skip to main content

Dato’ Mumtaz dinobat Tokoh Sayyidatina Khadijah Al-Khuwailid 2026

  • 08 August 2026
  • Oleh: Syamimi Manah | Kredit foto: Media HSK
  • 30

KOTA DARULNAIM, 8 Ogos - Ahli Parlimen Tumpat YB Dato’ Mumtaz Md Nawi dinobatkan sebagai Tokoh Sayyidatina Khadijah Al-Khuwailid (Kepimpinan) 2026.

Pengiktirafan berprestij itu dianugerahkan atas jasa, kepimpinan dan sumbangan beliau dalam memperkasakan wanita, memartabatkan institusi keluarga serta pembangunan masyarakat.

Anugerah berkenaan disampaikan oleh Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud pada sambutan Hari Sayyidatina Khadijah 2026 di Dewan Tok Guru Bentara Setia Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu pada 6 Jun.

Dato’ Mumtaz berkata, anugerah tersebut adalah penghargaan buat dirinya yang didedikasikan kepada seluruh wanita Kelantan yang terus berjuang dan tidak pernah kenal lelah dalam kehidupan.

“Anugerah ini khas buat semua wanita Kelantan, istimewa buat Allahyarhamah Ummi dan Mak dan semua wanita yang tak kenal lelah dalam kehidupan dan perjuangan.

“Sama-sama kita terus berusaha untuk menjadi mulia umpama Sayyidatina Khadijah” Katanya ketika dihubungi, pada Khamis.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada suaminya Mohd Sukiman bin Yasin atau lebih mesra disapa ‘Abe Man’, serta semua golongan lelaki yang sentiasa menjadi pendorong dan pendokong kepada perjuangan wanita.

“Terima kasih kepada Abe Man dan semua lelaki yang menjadi pendorong dan pendokong wanita. Kebahagiaan kami adalah bila disayangi dan disantuni oleh yang berhak dan tersayang,” ujarnya.

Dalam pada itu, Dato’ Mumtaz turut memberikan penghargaan khusus kepada bapanya yang sentiasa memberikan kepercayaan penuh terhadap dirinya sebagai anak sulung.

“Juga buat Abah yang sentiasa penuh percaya pada anak sulungnya ini,” luahnya.

Pengiktirafan tersebut selari dengan perjalanan panjang Dato’ Mumtaz dalam bidang kepimpinan, perundangan, kebajikan dan pembangunan wanita serta keluarga.

Beliau memulakan kerjaya sebagai Peguambela dan Peguam Cara Mahkamah Tinggi Malaya serta Peguam Syarie Negeri Kelantan pada 1996 sebelum menggalas tanggungjawab sebagai Ahli Dewan Negara dari 2006 hingga 2012.

Beliau kemudiannya dipilih sebagai Ahli Dewan Negeri Kelantan bagi DUN Demit dari 2013 hingga 2023 dan turut berkhidmat sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Kelantan selama satu dekad.

Bermula 2022, beliau meneruskan khidmat di peringkat Persekutuan sebagai Ahli Dewan Rakyat bagi Parlimen Tumpat.

Sepanjang penglibatan dalam pentadbiran negeri, beliau turut memainkan peranan dalam penggubalan pelbagai dasar yang memberi tumpuan kepada pembangunan wanita, keluarga, kebajikan dan kesejahteraan masyarakat.

Antara dasar berkenaan termasuk Dasar Wanita Solehah Negeri Kelantan, Dasar Kanak-kanak Fitrah Negeri Kelantan, Dasar Warga Emas Al-Mukmin Negeri Kelantan, Dasar Kebajikan dan Kesejahteraan Rakyat Kelantan serta Dasar OKU Muqarrabun Negeri Kelantan.

Beliau juga terlibat dalam penggubalan Dasar Modal Usahawan Syayyidatina Khadijah, Dasar Keluarga Mawaddah dan Panduan Keluarga Mawaddah serta pra-penggubalan Dasar Qawwamah Negeri Kelantan.

Pautan berjaya disalin!