Masjid Saidina Umar Ibn Al-Khattab sediakan kemudahan ibadah lebih selesa
-
07 August 2026
-
Oleh: Irham Hilmi Hashim
-
52
Oleh: Irham Hilmi Hashim
KUALA KRAI, 7 Ogos – Pembinaan Masjid Saidina Umar Ibn Al-Khattab di Mukim Telekong menjadi manifestasi kerjasama erat pelbagai pihak dalam memperkukuhkan syiar Islam serta menyediakan kemudahan ibadah yang lebih selesa kepada masyarakat.
Ahli Parlimen Kuala Krai YB Abdul Latiff Abdul Rahman berkata pembinaan masjid berkenaan bukan sahaja memenuhi keperluan penduduk setempat, malah berperanan sebagai pusat ibadah, dakwah dan pembangunan ummah.
Beliau berkata demikian menerusi hantaran media rasminya selepas menghadiri majlis pembukaan serta jamuan makan sempena siapnya pembinaan Masjid Saidina Umar Ibn Al-Khattab di Mukim Telekong pada 4 Ogos.
“Masjid ini kini telah digunakan sepenuhnya bagi solat fardu serta pelbagai aktiviti keagamaan, sekali gus memberi manfaat kepada penduduk setempat dan para musafir yang melalui kawasan ini.
“Kejayaan menyiapkan masjid ini adalah hasil kesungguhan masyarakat, jawatankuasa masjid, agensi kerajaan serta para penyumbang yang berganding bahu sejak projek ini dimulakan,” katanya.
Menurutnya, usaha pembinaan bermula dengan pelancaran kutipan dana dan pembelian tanah pada 22 Oktober 2022 sebelum dana berjumlah RM1 juta berjaya dikumpulkan bagi menjelaskan sepenuhnya harga tanah pada 31 Mac 2023, manakala urusan pembelian dimuktamadkan pada 14 Mei 2023.
Beliau berkata, pembinaan fizikal masjid diteruskan selepas majlis peletakan batu asas pada 6 Mac 2024 dengan anggaran kos keseluruhan melebihi RM2 juta.
Menurutnya, projek tersebut diuruskan oleh mantan Pegawai Agama Jajahan Kuala Krai Saibon Ismail manakala usaha kutipan dana digerakkan oleh Dato’ Dr Abdul Basit Abdul Rahman sehingga berjaya mengumpulkan lebih separuh daripada kos pembinaan sebelum menerima tambahan peruntukan sebanyak RM1.2 juta yang diluluskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) YB Senator Dato' Setia Dr Mohd Na'im Mokhtar pada 27 September 2024 melalui pelbagai agensi di bawah kementeriannya.
“Masjid ini mula digunakan bagi solat fardu dan solat tarawih pada pertengahan Ramadan 1447 dan menjadi pusat penyatuan masyarakat serta pengimarahan syiar Islam di Mukim Telekong.
“Kita juga mengadakan beberapa siri perbincangan bagi memastikan kemudahan infrastruktur di kawasan masjid dapat dilengkapkan dalam tempoh terdekat demi keselesaan ahli kariah dan para musafir,” jelasnya.
Beliau berkata, kejayaan menyiapkan Masjid Saidina Umar Ibn Al-Khattab membuktikan semangat kerjasama, kesatuan dan keprihatinan masyarakat mampu merealisasikan pembangunan institusi Islam yang memberi manfaat berpanjangan kepada generasi akan datang.
Turut hadir, Ahli Dewan Negeri (ADN) Manek Urai YB Mohd Fauzi Abdullah, Ahli Dewan Negeri (ADN) Mengkebang YB Zubir Abu Bakar serta Ketua Jajahan Kuala Krai Shaifudeen Salleh.












