HSK 2026: Inspirasi wanita Kelantan teladani Sayyidatina Khadijah
-
06 August 2026
-
Oleh: Syamimi Manah
-
33
KOTA DARULNAIM, 6 Ogos – Sambutan Hari Sayyidatina Khadijah (HSK) 2026 terus menjadi platform Kerajaan Negeri Kelantan menyemai inspirasi kepada wanita agar mencontohi keperibadian unggul Sayyidatina Khadijah RA dalam membina keluarga, memperkukuh masyarakat serta menyumbang kepada pembangunan negeri.
Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita YB Dato' Rohani Ibrahim berkata, sambutan yang memasuki tahun ke-12 itu bukan sekadar program tahunan, sebaliknya medan menghargai, mengiktiraf serta memartabatkan wanita yang telah mencurahkan bakti kepada agama, keluarga, masyarakat dan negeri.
Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan sempena Sambutan Hari Sayyidatina Khadijah 2026 yang berlangsung di Dewan Tok Guru Dato' Bentara Setia, Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.
Menurutnya, program HSK yang diperkenalkan sejak tahun 2015 sebagai penjenamaan sambutan Hari Wanita bertujuan membentuk wanita Kelantan yang lebih berani, bermaruah dan berakhlak mulia berteraskan teladan Sayyidatina Khadijah RA dengan slogan "Agar Dirimu Semulia Khadijah."
Katanya lagi, sambutan HSK 2026 menerima sambutan luar biasa apabila kapasiti dewan yang mampu menempatkan 1,000 peserta dipenuhi sepenuhnya sehingga pihak urus setia terpaksa menolak sebahagian permohonan tambahan.
Bagi membolehkan lebih ramai mengikuti pengisian program, siaran langsung secara dalam talian turut disediakan.
"HSK bukan sekadar program tahunan biasa-biasa, bahkan kita berhasrat HSK menjadi satu medan untuk menghargai, mengiktiraf dan memartabatkan wanita yang telah mencurahkan bakti kepada agama, keluarga, masyarakat dan negeri." ujarnya.
Menurutnya, HSK juga menjadi platform menghimpunkan wanita daripada pelbagai latar belakang selain mengiktiraf tokoh-tokoh wanita yang berjaya memberi inspirasi kepada masyarakat.
Beliau memaklumkan, tahun ini, Kerajaan Negeri Kelantan turut memperluaskan pelaksanaan program ke seluruh DUN bagi menghargai lebih ramai wanita serta mengiktiraf sekurang-kurangnya 45 Tokoh Usahawan Wanita peringkat DUN.
Tambahnya, sehingga tahun 2025, seramai 58 wanita telah dinobatkan sebagai Tokoh Wanita Negeri, 30 sebagai Ikon Wanita Negeri Kelantan, manakala 101 lagi menerima pengiktirafan Tokoh dan Ikon Wanita di peringkat Parlimen serta DUN. Pada tahun ini pula, tiga penerima Tokoh dan dua penerima Ikon Wanita Negeri bakal diumumkan.
Mengulas agenda pembangunan wanita, beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa meletakkan pembangunan wanita dan institusi keluarga sebagai antara keutamaan kerana kekuatan sesebuah negeri bermula daripada kekuatan institusi keluarga.
"Jika kita ingin melihat masa depan sesebuah negeri, lihatlah bagaimana wanita di negeri itu dimuliakan, dimartabatkan dan diberikan peluang untuk turut sama menyumbang kepada pembangunan masyarakat sesuai dengan kemampuan dan kelebihannya tanpa mengabaikan tanggungjawab asasnya."jelasnya.
Katanya lagi, HSK 2026 turut memberi penekanan kepada pembangunan diri, kesejahteraan emosi, ilmu, keusahawanan dan kerohanian bagi membantu wanita menghadapi cabaran semasa seperti tekanan ekonomi, kesihatan mental serta keseimbangan antara kerjaya dan keluarga.
Beliau berharap Sambutan Hari Sayyidatina Khadijah akan terus menjadi platform melahirkan lebih ramai tokoh dan ikon wanita yang menjadi aset kepada agama, keluarga, masyarakat serta negeri Kelantan.
Antara slot utama program program berkenaan ialah Daurah Wanita: "Agar Dirimu Semulia Khadijah" yang disampaikan oleh penceramah selebriti Ustazah Asma Harun serta ceramah kesihatan mental bertajuk "Aku Bukan Gila" yang disampaikan oleh penceramah motivasi Syakirin Yuslan.














