Accessibility Tools

Skip to main content

Pendakwah selebriti kagum Kelantan dan Terengganu martabatkan tokoh wanita Islam

  • 06 August 2026
  • Oleh: Norzana Razaly
  • 39

KOTA DARULNAIM, 6 Ogos — Pendakwah selebriti Ustazah Asma' Harun menyifatkan Kelantan dan Terengganu sebagai dua negeri yang wajar dicontohi kerana konsisten menganjurkan program berskala besar yang mengangkat tokoh wanita agung Islam sebagai teladan kepada masyarakat, khususnya golongan wanita.

Beliau berkata, pendekatan Kerajaan Negeri Kelantan menerusi penganjuran Hari Sayyidatina Khadijah (HSK) 2026 bertemakan "Agar Dirimu Semulia Khadijah" membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memartabatkan Sayyidatina Khadijah sebagai model wanita unggul yang perlu dicontohi dalam institusi keluarga dan masyarakat.

"Saya sangat kagum kerana hanya dua negeri di Malaysia yang menganjurkan program menghimpunkan ribuan wanita bagi mengisi jiwa dengan mencontohi isteri Rasulullah SAW. Di Kelantan, tokoh yang diangkat ialah Sayyidatina Khadijah, manakala di Terengganu pula Sayyidatina Aisyah.

"Saya sendiri pernah diundang menyampaikan pengisian bertemakan Sayyidatina Aisyah di Terengganu. Mudah-mudahan usaha seperti ini menjadi inspirasi kepada negeri-negeri lain seperti Kedah, Perlis dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan slot utama Daurah Wanita: "Agar Dirimu Semulia Khadijah" di Dewan Tok Guru Bentara Setia, Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.

Beliau mengingatkan, wanita hari ini perlu berhati-hati dalam memilih tokoh untuk dijadikan ikutan agar tidak terpesona dengan ukuran kejayaan dunia semata-mata.

"Saya berharap wanita hari ini tidak tersalah memilih idola. Jika mereka menjadikan wanita akhir zaman sebagai contoh, kemungkinan yang diutamakan hanyalah keselesaan hidup dan kejayaan duniawi. Sedangkan kejayaan sebenar ialah kejayaan di akhirat.

"Tahniah kepada Kerajaan Negeri Kelantan kerana terus menganjurkan program seperti ini. Semoga ia diteruskan pada tahun-tahun akan datang. Terima kasih kerana memberikan peluang kepada saya untuk berkongsi pengisian bersama para peserta," ujarnya.

Terdahulu, isteri Menteri Besar Kelantan Datin Panglima Perang Ustazah Wan Nor Hanita Wan Yaakob merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Kelantan khususnya Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (U-KeKWa), atas kejayaan menganjurkan program yang disifatkan amat bermakna kepada kaum wanita.

Beliau berkata, tema "Agar Dirimu Semulia Khadijah" amat bertepatan kerana mengangkat Sayyidatina Khadijah sebagai suri teladan terbaik dalam kalangan Ummahatul Mukminin yang wajar dicontohi oleh wanita Islam.

"Semoga program ini diteruskan pada masa hadapan kerana Hari Sayyidatina Khadijah sentiasa dinanti-nantikan oleh wanita di Kelantan," katanya.

Sementara itu, seorang peserta yang juga pengamal undnag-undang  Nasriah Abdul Salam, 43,  berkata beliau hadir secara hadir terus selepas melihat poster HSK 2026 ketika dalam perjalanan ke mahkamah pada sebelah pagi.

"Selesai urusan di mahkamah, saya terus hadir ke HSK 2026 ketika Ustazah Asma' Harun sedang menyampaikan daurah. Ini merupakan kali pertama saya berpeluang menghadiri program ini kerana sebelum ini jadual perbicaraan di mahkamah sering bertembung dengan tarikh penganjurannya.

"Kadangkala rutin sebagai isteri, anak, ibu, peguam dan majikan sangat meletihkan. Namun pengisian yang menampilkan Sayyidatina Khadijah sebagai model wanita benar-benar menyentuh hati saya. Hakikatnya, setiap keletihan yang dilalui di jalan kebaikan merupakan ruang untuk Allah SWT mengurniakan pahala. Semua anggota badan yang bekerja akan menjadi saksi, tinggal lagi bagaimana kita mendidik diri agar sentiasa sabar dan reda," ulasnya.

Beliau berharap Hari Sayyidatina Khadijah diteruskan sebagai program tahunan dan diperluaskan ke negeri-negeri lain agar lebih ramai wanita mendapat manfaat daripada pengisian yang dibawakan.

Pautan berjaya disalin!


Rang undang-undang kesalahan syariah baharu tampil dengan pembaharuan berteraskan maqasid syariah

  • 06 August 2026
  • Oleh: Norzana Razaly
  • 39

KOTA DARULNAIM, 5 Ogos — Kerajaan Negeri Kelantan akan membentangkan Rang Undang-Undang Kesalahan Syariah (Kelantan) 2026 yang menampilkan pembaharuan menyeluruh dalam perundangan syariah negeri menerusi pendekatan penggubalan berasaskan prinsip pith and substance serta penyusunan kesalahan mengikut kerangka Maqasid Syariah.

Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato' Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, rang undang-undang baharu itu mengandungi sembilan bahagian, 62 seksyen dan satu jadual, selain memperkenalkan beberapa peruntukan baharu yang akan diperincikan semasa pembentangan pada Persidangan Kali Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan yang dijadual berlangsung dari 11 hingga 13 Ogos ini.

Menurut beliau, penggubalan rang undang-undang tersebut memberi penekanan kepada kewajipan agama (taklifan) yang diperintahkan syarak sebagai inti pati setiap kesalahan, manakala penyusunan kesalahan pula dibuat berasaskan lima objektif utama Maqasid Syariah, iaitu pemeliharaan agama (hifz ad-din), nyawa (hifz an-nafs), akal (hifz al-'aql), harta (hifz al-mal) dan keturunan.

“Rang undang-undang ini turut mengandungi beberapa peruntukan baharu dan ciri-ciri pembaharuan yang diperkenalkan melalui proses penggubalannya.

“Butiran penuh mengenai rang undang-undang ini akan dijelaskan secara terperinci semasa pembentangan di Dewan Negeri kelak,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Kerajaan Negeri di Mabna Kota Darulnaim, hari ini.

Beliau berkata, rang undang-undang tersebut digubal bagi menggantikan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 Negeri Kelantan susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 9 Februari 2024 dalam kes Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid & Seorang Lagi lwn. Kerajaan Negeri Kelantan yang memutuskan 16 peruntukan enakmen berkenaan terbatal dan tidak sah kerana berada di luar bidang kuasa Badan Perundangan Negeri.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri menubuhkan Jawatankuasa Pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah pada pertengahan 2024 bagi mengkaji semula bukan sahaja 16 peruntukan yang dibatalkan, malah keseluruhan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019.

Menurutnya, jawatankuasa tersebut dianggotai pakar perundangan sivil dan syariah, ahli akademik, pakar Perlembagaan serta pegawai Kehakiman Syariah yang mewakili pelbagai pihak berkepentingan bagi meneliti secara menyeluruh alasan penghakiman Mahkamah Persekutuan sebelum penggubalan dilaksanakan.

Jelasnya, penyediaan rang undang-undang itu turut melalui beberapa peringkat penelitian termasuk pembentangan kepada Jemaah Ulama Kelantan di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) bagi mendapatkan penelitian dari sudut fatwa dan hukum syarak.

“Proses ini mengambil sedikit masa kerana setiap peruntukan diteliti secara menyeluruh bagi memastikan rang undang-undang yang digubal benar-benar kukuh dari sudut syariah dan Perlembagaan,” katanya.

Beliau menjelaskan, pendekatan penggubalan yang diambil adalah dalam ruang lingkup bidang kuasa Dewan Negeri sebagaimana diperuntukkan di bawah Item 1, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, khususnya berkaitan pewujudan dan penghukuman terhadap kesalahan yang melanggar perintah agama Islam.

Menurutnya, rang undang-undang tersebut memberi tumpuan kepada kesalahan yang bersifat keagamaan meliputi aspek akidah, kesucian agama Islam, institusi-institusi Islam serta perkara berkaitan moral menurut syariat.

“Penggubalan Rang Undang-undang ini mengambil kira sepenuhnya alasan penghakiman Mahkamah Persekutuan dalam kes Nik Elin serta beberapa keputusan terdahulu, di samping menghormati bidang kuasa Badan Perundangan Negeri dan kedaulatan Perlembagaan Persekutuan.

“Penggubalan ini membuktikan bahawa undang-undang syariah mampu terus berkembang melalui ijtihad perundangan dalam kerangka Perlembagaan,” ujarnya.

Pautan berjaya disalin!