MB Kelantan seru wanita perkasa ilmu, bina generasi dan dukung perjuangan Islam
-
06 August 2026
-
Oleh: Norzana Razaly
-
43
KOTA DARULNAIM, 6 Ogos — Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud menyeru para wanita, khususnya wanita Kelantan supaya terus memperkasa diri dengan ilmu, membina generasi berakhlak, peka terhadap perubahan sosial serta istiqamah mendukung perjuangan Islam sebagai teras melahirkan masyarakat yang sejahtera.
Beliau menyampaikan empat amanat tersebut ketika merasmikan Majlis Sambutan Hari Sayyidatina Khadijah 2026 yang berlangsung di Dewan Tok Guru Bentara Setia, Kompleks Kota Darulnaim, di sini, hari ini.
Mengawali amanatnya, beliau memetik sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, "nasihatilah para wanita dengan kebaikan." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Beliau turut mengimbau kata-kata tokoh pemikir Islam Allahyarham Pak Hamka, "perempuan ibarat lautan. Kalau kamu tidak kuat merenanginya, maka kamu akan ditelannya."
Mengulas amanat pertama, beliau menyeru wanita agar sentiasa menuntut ilmu kerana Islam meletakkan ilmu sebagai asas pembentukan peribadi dan tamadun.
Menurut Dato' Mohd Nassuruddin, dalam era yang berkembang pesat, wanita bukan sahaja perlu menguasai ilmu agama, malah melengkapkan diri dengan ilmu semasa, kemahiran digital, pengurusan kewangan serta pelbagai bidang lain yang mampu meningkatkan keupayaan diri.
“Dengan ilmu, kita akan menjadi lebih yakin, lebih matang dan lebih bersedia untuk menyumbang kepada keluarga, masyarakat serta negara,” katanya.
Berkaitan amanat kedua, beliau menegaskan bahawa wanita memainkan peranan penting dalam membina generasi kerana rumah merupakan madrasah pertama manakala ibu ialah guru pertama kepada setiap insan.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan, cabaran membesarkan anak pada masa kini jauh lebih kompleks berbanding generasi terdahulu berikutan pengaruh media sosial, kecerdasan buatan (AI) serta ledakan maklumat tanpa sempadan.
“Anak-anak pula hidup dalam era media sosial, kecerdasan buatan (AI), ledakan maklumat dan pelbagai pengaruh tanpa sempadan dan kawalan. Oleh itu, kasih sayang sahaja tidak lagi mencukupi jika tidak disertai dengan bimbingan, pemantauan dan pendidikan yang berterusan.
“Amanah besar ini perlu digalas bersama dan perlu memberikan masa secukupnya dalam mencorakkan masa depan anak-anak. Generasi yang soleh tidak lahir secara kebetulan, tetapi lahir daripada didikan yang penuh hikmah, kasih sayang dan keteladanan,” tegasnya.
Menyentuh amanat ketiga, beliau mengingatkan wanita supaya lebih peka terhadap perubahan sosial kerana cabaran terbesar anak-anak hari ini bukan sahaja berada di luar rumah, malah di hujung jari menerusi penggunaan telefon pintar.
Beliau mengingatkan, wanita perlu mengetahui persekitaran sosial anak-anak termasuk rakan, corak penggunaan media sosial, bentuk hiburan yang diikuti serta nilai yang mempengaruhi pemikiran mereka agar dapat membimbing mereka ke arah yang lebih baik.
Dalam amanat keempat, beliau menyeru wanita agar terus memainkan peranan dalam perjuangan Islam melalui dakwah, pendidikan, kebajikan, kesukarelawanan dan pembangunan masyarakat dengan menjadikan Sayyidatina Khadijah Radhiyallahu 'Anha sebagai contoh teladan.
“Beliau menjadi tempat Rasulullah SAW mengadu, menjadi penenang ketika Baginda berdepan ujian, menjadi penyokong ketika manusia lain menolak dan menjadi penyumbang ketika dakwah memerlukan pengorbanan.
“Justeru, saya menyeru agar wanita hari ini terus memainkan peranan dalam kerja-kerja dakwah, pendidikan, kebajikan, kesukarelawanan dan pembangunan masyarakat mengikut kemampuan masing-masing.
“Setidak-tidaknya, mainkan peranan untuk membawa ahli keluarga menyokong dan mendokong perjuangan Islam. Jika dilihat kepada analisis pengundi di negeri Kelantan, wanita merangkumi 51 peratus daripada keseluruhan hampir 1.5 juta pengundi. Angka ini memberi gambaran tugas besar kepada kita untuk memberikan kefahaman agar masyarakat terus memberikan sokongan kepada perjuangan Islam,” ujarnya.
Beliau yakin terhadap peranan wanita sebagai pendidik, pembimbing dan pembina masyarakat signifikan dalam melahirkan generasi yang berilmu, berakhlak serta berdaya tahan bagi menghadapi cabaran semasa, sekali gus menyumbang kepada pembangunan negeri dan ummah.












