Accessibility Tools

Skip to main content

Kelantan giat bina rumah mampu milik demi kesejahteraan rakyat

  • 04 August 2026
  • Oleh: Irham Hilmi Hashim
  • 65

KOTA DARULNAIM, 4 Ogos – Kerajaan Negeri Kelantan giat melaksanakan Projek Rumah Mampu Milik Kelantan (RMMK) dan Projek Residensi Rakyat (PRR) bagi memastikan lebih ramai rakyat berpeluang memiliki kediaman yang selesa, berkualiti dan mampu dimiliki.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata usaha itu merupakan antara keutamaan Kerajaan Negeri dalam merancang pembangunan sektor perumahan secara menyeluruh bagi memenuhi permintaan dan keperluan rakyat yang semakin meningkat.

Menurutnya, penyediaan rumah mampu milik dapat memenuhi keperluan asas tempat tinggal dan menjadi pemangkin kepada pembentukan institusi keluarga yang stabil, sejahtera dan berdaya tahan.

“Kerajaan Negeri sentiasa komited memastikan lebih ramai rakyat, khususnya golongan B40, M40, pasangan muda dan mereka yang masih belum memiliki kediaman sendiri, dapat menikmati peluang memiliki rumah yang berkualiti pada harga yang mampu dimiliki.

“Pembangunan sektor perumahan perlu dilaksanakan secara tersusun dan bersepadu supaya setiap projek yang dirancang dapat disiapkan mengikut jadual serta benar-benar memberi manfaat kepada rakyat,” katanya dalam media sosial, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kecil Perumahan Negeri Kelantan Bil. 1/2026 yang menghimpunkan pelbagai agensi berkaitan bagi membincangkan hala tuju serta strategi pembangunan sektor perumahan di negeri ini, di Kota Darul Naim, semalam.

Menurutnya, jawatankuasa berkenaan memainkan peranan penting sebagai platform penyelarasan dasar, perancangan dan pelaksanaan projek-projek perumahan, selain menjadi medium untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan pembangunan secara lebih berkesan.

Beliau berkata, mesyuarat tersebut memberi fokus kepada usaha memperbanyakkan pembinaan RMMK, mempercepat pelaksanaan projek yang sedang dirancang, mengenal pasti tapak baharu yang berpotensi untuk pembangunan PRR dan RMMK serta memperincikan langkah-langkah penyelesaian terhadap isu teknikal dan pelaksanaan projek.

Katanya, antara projek yang dibincangkan termasuk RMMK Badang, RMMK Bunut Susu, RMMK Meranti 2, RMMK Joh, PRR Kadok dan PRR Kok Lanas, selain beberapa projek lain yang kini berada pada peringkat penilaian serta penelitian teknikal di tapak.

Menurutnya, setiap projek yang dirancang akan dilaksanakan secara berfasa dengan mengambil kira keperluan penduduk setempat, kesesuaian lokasi serta kemudahan infrastruktur agar pembangunan yang diwujudkan mampu memberikan manfaat jangka panjang kepada rakyat.

Tambahnya, kejayaan agenda perumahan negeri memerlukan kerjasama erat antara Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan, pihak berkuasa tempatan serta semua agensi berkaitan bagi memastikan setiap perancangan dapat direalisasikan dengan berkesan.

“Rumah bukan sekadar tempat berteduh, sebaliknya menjadi asas kepada pembentukan keluarga yang bahagia, melahirkan masyarakat yang harmoni serta menyumbang kepada pembangunan negeri secara menyeluruh.

“Insya Allah, melalui kerjasama semua pihak, lebih banyak projek rumah mampu milik akan dapat direalisasikan demi meningkatkan kesejahteraan rakyat dan memastikan lebih ramai penduduk Kelantan memiliki kediaman yang selesa, selamat dan berkualiti,” jelasnya.

Pautan berjaya disalin!