Accessibility Tools

Skip to main content

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat


Pelajar YIK perlu kuasai STEM dan keusahawanan tanpa abaikan asas agama

Oleh: Irham Hilmi Hashim

TUMPAT, 4 Ogos – Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat menegaskan para pelajar sekolah agama kelolaan Yayasan Islam Kelantan (YIk) perlu menguasai bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta keusahawanan sebagai persediaan menghadapi cabaran masa depan, tanpa mengabaikan asas pendidikan Islam yang menjadi tunjang pembentukan sahsiah.

Menurutnya, keseimbangan antara penguasaan ilmu agama dan ilmu kontemporari merupakan kekuatan utama yang mampu melahirkan modal insan berdaya saing, berakhlak serta mampu menyumbang kepada pembangunan ummah dan negara.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival Keusahawanan dan Minggu STEM di SMU (A) Nurul Huda SABK, Kajang Sebidang Tumpat, pada 30 Julai.

“Keusahawanan perlu diberikan perhatian kerana ia merupakan antara bidang yang mampu membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada masyarakat. Prinsip bahawa sembilan persepuluh punca rezeki datang daripada perniagaan dan usaha sendiri seharusnya menjadi motivasi kepada generasi muda untuk berani menceburi bidang keusahawanan.

“Pelajar tidak seharusnya hanya bergantung kepada peluang pekerjaan bergaji tetap, sebaliknya perlu melengkapkan diri dengan ilmu, kemahiran dan kreativiti bagi membina sumber pendapatan sendiri melalui bidang perniagaan serta inovasi,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menjelaskan penguasaan STEM perlu dilihat daripada perspektif yang lebih menyeluruh, termasuk memahami kebesaran Allah SWT melalui ilmu sains.

“Ilmu sains membantu manusia memahami proses kejadian insan daripada setitik air mani sehingga ditiupkan roh, sekali gus meningkatkan kesedaran tentang hakikat kehidupan sebagai hamba Allah SWT. Ilmu sains dan perubatan juga memainkan peranan penting dalam menjaga kesihatan tubuh badan supaya manusia dapat melaksanakan ibadah dengan lebih sempurna,” jelasnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa kecemerlangan akademik perlu disertai dengan pembentukan sahsiah yang kukuh berteraskan ajaran Islam.

“Pendidikan yang dibawa oleh Rasulullah SAW berasaskan tiga perkara utama iaitu kasih kepada Nabi SAW, kasih kepada ahli keluarga serta para sahabat Baginda, selain membudayakan pembacaan dan penghayatan Al-Quran dalam kehidupan seharian.

“Keseimbangan antara pengajian Al-Quran, tafsir, hadis dan tajwid dengan penguasaan STEM mampu melahirkan generasi yang mempunyai kekuatan ilmu, akhlak serta kepakaran profesional,” ujarnya.

Beliau memaklumkan, pelajar sekolah agama hari ini mempunyai kelebihan tersendiri apabila mengikuti sehingga 15 mata pelajaran dan terbukti mampu bersaing dalam pelbagai bidang profesional seperti perubatan, kejuruteraan dan perkhidmatan awam, selain berjaya melanjutkan pengajian ke institusi dalam dan luar negara.

"Peluang pendidikan di luar negara juga semakin terbuka termasuk di Algeria dan Tunisia yang menawarkan kemudahan tertentu kepada pelajar, selain kerjasama akademik dan TVET bersama institusi di Korea Selatan dan Qatar dalam bidang teknikal serta kejuruteraan," katanya.

Pautan berjaya disalin!