Accessibility Tools

Skip to main content

The Textile Lab pelihara warisan songket dan kelingkan, lahir generasi baharu artisan

Oleh: Syamimi Manah

KOTA BHARU, 4 Ogos – Penubuhan The Textile Lab Kota Bharu menjadi langkah signifikan dalam usaha memelihara warisan tekstil negara serta melahirkan generasi baharu artisan yang berkemahiran dalam seni Songket Kelantan dan Sulaman Kelingkan, sekali gus memastikan khazanah budaya negeri terus lestari.

Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita YB Dato' Rohani Ibrahim berkata, inisiatif tersebut berfungsi sebagai pusat latihan dan menjadi platform pembangunan sosioekonomi yang mampu memperkasa wanita, melahirkan usahawan kreatif dan membuka peluang pendapatan kepada golongan sasar.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran The Textile Lab Kota Bharu yang turut dihadiri Presiden Malaysian Craft Council (MCC) Nik Faiz Nik Amin, bersama para artisan, wakil agensi kerajaan, institusi pendidikan dan rakan strategik di Taman Sri Cemerlang, hari ini.

Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, YB Dato' Rohani Ibrahim

Menurutnya, penubuhan The Textile Lab selaras dengan Hala tuju Portfolio Kerajaan Negeri Kelantan 2024–2028 yang memberi penekanan kepada usaha memperkasakan wanita melalui pembangunan kemahiran di samping memelihara warisan seni dan budaya tempatan, khususnya seni Kelingkan dan Songket yang menjadi identiti negeri.

Katanya, usaha memperkukuh warisan tersebut bermula menerusi lawatan kerja ke kediaman Adi Guru dan Master Artisan Kelingkan Nik Rahimah Nik Idris dan Nik Marhamah Nik Megat pada Oktober 2024 sebelum diteruskan melalui kerjasama strategik bersama Malaysian Craft Council.

"Hasil perbincangan yang terjalin, Memorandum Persefahaman (MoU) antara Malaysian Craft Council dan Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan telah dimeterai pada 26 Februari 2025 bagi memperluaskan peluang latihan, pembangunan kemahiran serta pemerkasaan ekonomi wanita melalui bidang seni warisan.

"Bagi memastikan pelaksanaan program berjalan secara lebih tersusun, Pusat Latihan Wanita, OKU dan Armalah (PLWOA) telah dikenal pasti sebagai pusat latihan, sekali gus memberi ruang kepada wanita, termasuk golongan OKU dan armalah, meningkatkan kemahiran serta menjana pendapatan," jelasnya.

Beliau turut memaklumkan, kejayaan The Textile Project sebelum ini membuktikan pelaburan dalam latihan kemahiran tradisional mampu memberi impak ekonomi yang nyata apabila ramai peserta berjaya menamatkan latihan dalam bidang Songket Kelantan dan Kelingkan.

Menurutnya, sebahagian daripada mereka kini menjana pendapatan sendiri melalui kemahiran yang diperoleh.

Sementara itu, Nik Faiz berkata, The Textile Lab diwujudkan sebagai sebuah ruang pembelajaran, pemeliharaan dan pembangunan tekstil warisan yang menghimpunkan artisan, penyelidik, pelajar, komuniti serta industri dalam satu ekosistem.

Menurutnya, pusat berkenaan merupakan sebuah ruang fizikal dan platform yang menghubungkan warisan dengan masa hadapan melalui latihan, dokumentasi, inovasi dan pembangunan produk.

"Sehingga kini, sebanyak 40 pelatih telah mengikuti latihan dalam bidang Tenunan Songket Kelantan dan Sulaman Kelingkan. Daripada jumlah itu, 20 orang telah diambil bekerja bersama The Textile Lab bagi meneruskan penghasilan produk, latihan dan pembangunan tekstil warisan" jelasnya.

Katanya lagi, penubuhan The Textile Lab merupakan kesinambungan daripada The Textile Project yang disokong oleh Yayasan Hasanah dengan kerjasama Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan.

"Melalui projek ini, kami berjaya melatih generasi baharu dalam bidang Tenunan Songket dan Sulaman Kelingkan, membimbing artisan muda bersama Master Artisan, mendokumentasikan ilmu tradisi serta membuka peluang ekonomi kepada peserta melalui kemahiran warisan.

"Kejayaan ini membuktikan warisan ini terus dipelihara dan mampu menjadi sumber pendapatan dan pembangunan komuniti," ujarnya.

Beliau berharap The Textile Lab akan terus berkembang sebagai pusat latihan tekstil warisan, pusat penyelidikan dan dokumentasi, ruang kolaborasi antara artisan dan industri, pusat rujukan Songket Kelantan serta Kelingkan, selain muncul sebagai destinasi pelancongan budaya yang memperkenalkan keunikan warisan Kelantan ke peringkat nasional dan antarabangsa.

Pautan berjaya disalin!