Dr. Wan Martina bangkit isu kebebasan statistik, privasi data dan akauntabiliti dalam RUU Statistik 2026
Oleh: Syamimi Manah
KUALA LUMPUR, 4 Ogos– Ahli Dewan NegaraYB Senator Dr. Wan Martina Wan Yusoff membangkitkan beberapa isu penting berkaitan kebebasan institusi statistik, perlindungan privasi data rakyat serta akauntabiliti dalam perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Statistik 2026 di Dewan Negara, hari ini.
Beliau berkata, walaupun menyokong usaha kerajaan menggantikan Akta Perangkaan 1965 bagi memodenkan sistem statistik negara, beberapa penambahbaikan perlu dipertimbangkan bagi memastikan pelaksanaan akta baharu itu benar-benar menjamin keyakinan rakyat terhadap pengurusan data negara.
"Statistik bukan sekadar angka. Statistik ialah asas kepada pembentukan dasar, perancangan pembangunan, penyediaan belanjawan, penyaluran bantuan rakyat, penentuan kadar kemiskinan, pengukuran inflasi, peluang pekerjaan dan hala tuju ekonomi negara," katanya.
Katanya, peluasan fungsi Jabatan Statistik Malaysia sebagai pusat repositori data negara perlu disertai jaminan perlindungan data peribadi yang lebih kukuh, termasuk penyelarasan dengan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010, pelaksanaan piawaian keselamatan siber, audit keselamatan berkala serta kejelasan mengenai tempoh penyimpanan dan pelupusan data.
Beliau turut mempersoalkan skop repositori data yang diperluaskan melalui RUU berkenaan, termasuk penggunaan frasa "bidang-bidang lain yang berkaitan" yang menurutnya perlu diperjelaskan bagi mengelakkan peluasan kuasa tanpa mekanisme semak dan imbang yang mencukupi.
Dalam masa sama, beliau menegaskan statistik rasmi negara perlu bebas daripada sebarang persepsi campur tangan politik bagi memastikan keyakinan pelabur, penyelidik dan rakyat terhadap data yang diterbitkan.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya keanggotaan Majlis Statistik Negara diperluaskan dengan melibatkan wakil universiti, badan profesional statistik, sektor industri, masyarakat sivil dan kerajaan negeri, selain menggesa kerajaan mempertimbangkan penggunaan United Nations Fundamental Principles of Official Statistics sebagai panduan utama pelaksanaan akta tersebut.
Selain itu, beliau turut membangkitkan keperluan mewujudkan mekanisme rayuan terhadap arahan Ketua Perangkawan, memandangkan RUU memberi kuasa yang luas kepada jawatan berkenaan untuk mendapatkan data daripada individu atau organisasi.
Dr. Wan Martina turut menyentuh kepentingan perlindungan undang-undang kepada pegawai kerajaan yang melaksanakan tugas rasmi, namun menegaskan perlindungan tersebut tidak seharusnya mengurangkan akauntabiliti sekiranya berlaku kecuaian sehingga menyebabkan kebocoran data berskala besar.
Beliau juga menggesa supaya laporan tahunan Majlis Statistik Negara dibentangkan di Parlimen, jadual penerbitan statistik utama negara ditetapkan lebih awal, dasar data terbuka diperluaskan serta audit bebas terhadap metodologi statistik dilaksanakan bagi meningkatkan ketelusan dan keyakinan awam.
"Negara memerlukan sistem statistik yang moden, berintegriti dan diyakini. Kejayaan sebenar Akta ini ialah apabila rakyat yakin bahawa data mereka dilindungi, statistik negara bebas daripada campur tangan serta setiap kuasa yang diberikan tertakluk kepada semak dan imbang yang berkesan," ujarnya.







