Kelantan naikkan insentif pemenang pingat SUKMA Selangor 2026
Oleh: Asri Hamat
KOTA BHARU, 4 Ogos - Kerajaan Negeri Kelantan melalui Majlis Sukan Negeri (MSN) bersetuju menaikkan kadar insentif kepada atlet yang memenangi pingat pada Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026.
Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad berkata, bagi kategori individu, insentif pingat emas dinaikkan daripada RM2,500 kepada RM6,000, manakala pingat perak meningkat daripada RM2,000 kepada RM3,000 dan gangsa daripada RM1,500 kepada RM2,000.
Beliau yang juga Ketua Kontinjen Kelantan ke SUKMA Selangor 2026 mengumumkan keputusan itu sebagai tanda penghargaan kepada atlet yang berjaya mengharumkan nama negeri.
"Walaupun kita ada kekangan kewangan tapi kita perlu meraikan atlet-atlet kita bagi memberi motivasi supaya mereka membuat yang terbaik. Jadi kita telah bersetuju untuk menaikkan kadar insentif kemenangan."
Beliau berkata demikian dalam rancangan FOKUS terbitan Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) yang disiarkan secara langsung dari Studio UPKN, di sini, hari ini.
Mengulas mengenai pemilihan atlet ke SUKMA, YB Zamakhshari berkata, bermula tahun lepas, proses pemilihan dilaksanakan menerusi temasya Sukan Kelantan (SUKEL) yang terbuka kepada semua atlet.
Katanya, SUKEL menjadi antara platform untuk menilai prestasi atlet melalui pertandingan yang dipertandingkan sebelum pemilihan dibuat.
"Dalam SUKEL itu sendiri sudah ada pertandingan dan ada pingat yang dipertandingkan. Jadi di situlah kita buat penilaian yang sewajarnya," jelasnya.
Menurutnya, SUKEL dianjurkan secara dwitahunan di antara penganjuran SUKMA dan diuruskan oleh Majlis Sukan Negeri Kelantan (MSN).
Dalam pada itu, beliau mengingatkan atlet yang bakal mewakili Kelantan supaya memberikan aksi terbaik kerana mereka membawa nama dan maruah negeri.
"Kepada adik-adik atlet yang akan mewakili Kelantan ke SUKMA XXII di Selangor, anda semua bukan mewakili diri sendiri. Anda semua masuk ke SUKMA membawa bendera Kelantan, maknanya mewakili jutaan rakyat Kelantan, mewakili seluruh penduduk Kelantan yang ingin melihat kejayaan kita.
"Jadi, sebagai atlet buatlah yang terbaik. Demi Kelantan kita lawe," katanya.
Pada SUKMA Selangor 2026, kontinjen Kelantan menyasarkan kutipan 34 pingat keseluruhan iaitu 16 emas, tujuh perak dan 11 gangsa, selain menyasarkan kedudukan ke-11 daripada 15 kontinjen yang bertanding.
Edisi kali ini turut menyaksikan penyertaan kontinjen terbesar dalam sejarah Kelantan dengan kekuatan 751 anggota kontinjen yang akan mengambil bahagian dalam 35 daripada 37 jenis sukan yang dipertandingkan.
Penyertaan itu turut melibatkan atlet pelapis termuda berusia 12 tahun dalam sukan pelayaran dan catur sebagai persediaan awal menghadapi SUKMA XXIII Kelantan 2028.










