Accessibility Tools

Skip to main content

Semangat "Jauh di Rantau, Bachok Tetap di Hati" satukan komuniti perantau

Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Media YB Syahir

KOTA DARULNAIM, 4 Ogos – Semangat "Jauh di Rantau, Bachok Tetap di Hati" terus menyatukan komuniti anak Bachok yang menetap di perantauan apabila Program Temu Mato Anok Bachok berjaya menghimpunkan masyarakat dari pelbagai kawasan di Lembah Klang, pada Ahad.

Ahli Parlimen Bachok YB Mohd Syahir Che Sulaiman berkata, program itu menjadi platform terbaik untuk mengeratkan ukhuwah serta memperkukuh silaturrahim dalam kalangan anak-anak Bachok yang menetap di luar Kelantan, di samping mengekalkan jati diri serta kecintaan terhadap kampung halaman.

Menurutnya, sambutan yang diterima amat memberangsangkan hasil kerjasama erat pelbagai pihak termasuk Ahli Dewan Negeri (ADUN), penghulu, urusetia dan komuniti anak Bachok di Kota Raja serta Shah Alam yang bertungkus-lumus menjayakan program berkenaan.

"Alhamdulillah, tahniah kepada semua penganjur, YB ADUN, penghulu dan urusetia di pihak tuan rumah yang telah bertungkus-lumus menjayakan program ini.

"Sambutan amat meriah dengan pelbagai aktiviti seperti sukaneka, pertunjukan silat, dikir barat, futsal, tazkirah dan cabutan bertuah yang berjaya menghimpunkan anak-anak Bachok di perantauan," katanya di laman rasmi pada 2 Ogos.

Program yang berlangsung di Dewan Sri Nervillia, Kota Kemuning itu dimeriahkan dengan pelbagai pengisian termasuk pertandingan futsal, sepakan penalti, sukaneka, persembahan dikir barat, silat tomoi, sesi ramah mesra serta cabutan bertuah.

Turut menjadi tarikan ialah jamuan istimewa gulai kawah tradisi Kelantan yang dimasak oleh tukang gulai dari Tawang, Bachok, sekali gus mengubat kerinduan para perantau terhadap cita rasa kampung halaman.

Program Temu Mato Anok Bachok di Perantauan dianjurkan secara bersama oleh Pusat Khidmat DUN Jelawat, Pusat Khidmat DUN Pantai Irama, Pusat Khidmat DUN Tawang, Pusat Khidmat Parlimen Bachok, PERAKAN Malaysia serta komuniti Anok-Anok Bachok di Perantauan.

YB Mohd Syahir berkata, program seumpama itu diharap dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai wadah memperkukuh hubungan sesama anak Bachok walau di mana mereka berada.

"Walaupun berjauhan dari kampung halaman, semangat 'Jauh di Rantau, Bachok Tetap di Hati' perlu terus dipelihara agar hubungan silaturrahim, budaya dan identiti anak Bachok sentiasa mekar serta diwarisi oleh generasi akan datang," ujarnya.

Pautan berjaya disalin!