Pelaburan sektor hospitaliti terus rancakkan pembangunan pelancongan Kelantan
Oleh: Irham Hilmi Hashim
KOTA DARULNAIM, 4 Ogos – Pelaburan berterusan dalam sektor hospitaliti dilihat mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan industri pelancongan Kelantan menerusi penyediaan lebih banyak kemudahan penginapan yang berkualiti, selesa dan memenuhi keperluan pelbagai kategori pelawat.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan YB Datuk Kamarudin Md Nor berkata pembukaan Rovers Hotel @ Kubang Kerian merupakan perkembangan positif yang menyokong usaha memperkukuh ekosistem pelancongan negeri, khususnya dalam menyediakan pilihan penginapan kepada pelancong dan pengunjung.
Menurutnya, pembangunan sektor hospitaliti memberi nilai tambah kepada industri pelancongan dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi setempat melalui peningkatan aktiviti perniagaan serta peluang pekerjaan.
“Penyediaan kemudahan penginapan yang moden, selesa dan berkualiti amat penting dalam memastikan Kelantan terus menjadi destinasi pilihan pelancong, di samping memenuhi keperluan pelawat yang datang atas pelbagai urusan.
“Pelaburan dalam sektor hospitaliti seperti ini turut memberi impak positif kepada perkembangan industri pelancongan negeri serta membantu merancakkan ekonomi komuniti setempat,” katanya dalam media sosial semalam selepas merasmikan pembukaan Rovers Hotel @ Kubang Kerian.
Beliau berkata, lokasi hotel yang strategik berhampiran Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian memberi kelebihan kepada pelawat, khususnya pesakit serta ahli keluarga yang datang dari dalam dan luar Kelantan bagi mendapatkan rawatan.
Menurutnya, kemudahan penginapan berhampiran institusi kesihatan utama itu turut menyokong perkembangan sektor pelancongan perubatan yang semakin mendapat perhatian dan berpotensi menjadi antara segmen penting industri pelancongan negeri.
“Selain memenuhi keperluan pelancong, hotel seperti ini memainkan peranan sebagai komponen sokongan kepada pelancongan perubatan dengan menyediakan penginapan yang selesa dan mudah diakses oleh pesakit serta keluarga mereka,” katanya.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada pengurusan Rovers Hotel @ Kubang Kerian atas pembukaan hotel tersebut dan berharap premis berkenaan terus berkembang serta mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung.
Di sampin itu, Datuk Kamarudin juga optimis kehadiran hotel baharu itu mampu memberi limpahan manfaat kepada komuniti setempat, sekali gus memperkukuh sektor hospitaliti, merangsang pertumbuhan ekonomi dan menyokong agenda pembangunan pelancongan negeri Kelantan secara menyeluruh.












