Accessibility Tools

Skip to main content

Lima keluarga DUN Pengkalan Kubor terima manfaat Skim Khairat Kifaalah

Oleh: Irham Hilmi Hashim

KOTA DARULNAIM, 4 Ogos – Sebanyak lima keluarga yang kehilangan ahli keluarga menerima sumbangan RM1,000 setiap seorang menerusi Skim Khairat Kifaalah Kerajaan Negeri Kelantan dalam ziarah kebajikan yang diadakan di beberapa mukim di DUN Pengkalan Kubor.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Pengkalan Kubor merangkap Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata inisiatif tersebut mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri dalam membantu meringankan beban keluarga yang ditimpa musibah kematian.

Menurutnya, sumbangan khairat yang disampaikan diharap dapat memberi sedikit kelegaan kepada waris dalam menghadapi saat sukar, di samping membuktikan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan kerajaan negeri.

“Skim Khairat Kifaalah merupakan antara inisiatif kebajikan kerajaan negeri yang bertujuan membantu waris ahli Kifaalah ketika berdepan ujian kehilangan insan tersayang.

“Semoga sumbangan ini dapat meringankan sedikit beban yang ditanggung oleh keluarga penerima,” katanya dalam hantaran media rasminya selepas mengadakan kunjungan ke rumah-rumah waris, semalam.

Beliau berkata, ziarah tersebut melibatkan lima keluarga di Mukim Telok Jering, Mukim Tanjong, Mukim Ketil dan Mukim Geting, selain menyampaikan sumbangan RM1,000 kepada setiap wasi yang layak.

Menurutnya, antara Allahyarham dan Allahyarhamah yang diziarahi ialah Allahyarhamah Kamariah Chik Wil, Allahyarham Shafii Jaafar, Allahyarham Ahmad Nazian Abd. Wahab, Allahyarhamah Aminah Salleh dan Allahyarhamah Halijah Mamat.

Beliau berkata, program ziarah seumpama itu bukan sekadar menyampaikan bantuan kewangan, malah menjadi medium untuk menyantuni keluarga yang sedang berdepan ujian serta menzahirkan rasa kebersamaan masyarakat terhadap mereka.

“Semoga Allah SWT mengampuni segala dosa mereka, melimpahkan rahmat-Nya serta menempatkan roh mereka dalam kalangan hamba-hamba yang beriman.

“Semoga seluruh ahli keluarga diberikan kekuatan, kesabaran dan ketabahan dalam menghadapi ujian kehilangan insan tersayang,” katanya.

Beliau berharap Skim Khairat Kifaalah akan terus menjadi antara medium kebajikan yang memberi manfaat kepada rakyat, sekali gus memastikan keluarga yang ditimpa musibah sentiasa mendapat perhatian dan sokongan sewajarnya daripada kerajaan negeri.

Pautan berjaya disalin!