Manfaatkan peluang belajar di luar negara untuk bangunkan negeri - Exco Pengajian Tinggi
Oleh: Irham Hilmi Hashim
KOTA DARULNAIM, 3 Ogos — Peluang melanjutkan pengajian di luar negara perlu dimanfaatkan sebagai satu amanah besar untuk melahirkan graduan yang mampu menyumbang kepada pembangunan agama, negeri dan masyarakat apabila kembali ke tanah air, kata Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kursus Bahasa Arab yang disertai 109 pelajar yang bakal melanjutkan pengajian ke Mesir dan Jordan di D’Heritage Resort & Training Center, Bachok, hari ini.
Menurutnya, kursus berkenaan merupakan antara inisiatif penting kerajaan negeri dalam memastikan para pelajar membuat persediaan rapi sebelum memulakan pengajian di luar negara, khususnya dari aspek penguasaan bahasa, kecemerlangan akademik dan pembentukan sahsiah.
Katanya, penguasaan Bahasa Arab bukan sahaja memudahkan proses pembelajaran dan komunikasi harian, malah menjadi kunci untuk memahami khazanah ilmu Islam secara lebih mendalam.
“Penguasaan Bahasa Arab adalah satu kelebihan yang amat penting kepada pelajar yang akan menyambung pengajian di Mesir dan Jordan kerana ia menjadi medium utama dalam menimba ilmu serta memahami sumber-sumber ilmu Islam.
“Justeru, peluang mengikuti kursus ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya sebagai persediaan sebelum melangkah ke alam pengajian di luar negara,” katanya dalam media rasmi, hari ini.
Dato' Wan Roslan turut mengingatkan para pelajar supaya membuat persiapan secara menyeluruh dengan memberi penekanan kepada adab, disiplin dan pembinaan sahsiah di samping kecemerlangan akademik.
“Perjalanan ke Mesir dan Jordan bukan sekadar untuk memperoleh segulung ijazah, tetapi membawa amanah untuk pulang dengan ilmu, pengalaman serta kematangan yang dapat dimanfaatkan demi kepentingan ummah,” jelasnya.
Beliau berharap 109 pelajar itu diberi kemudahan sepanjang tempoh pengajian dan berjaya mengharungi cabaran sebagai penuntut ilmu sehingga kembali sebagai generasi yang berilmu, beradab serta mampu menyumbang secara signifikan kepada pembangunan negeri dan negara.
Turut hadir Timbalan Pengarah (Sekolah) Yayasan Islam Kelantan (YIK) Ahmad Pakhruddin Deraman dan Penolong Pengarah Pelajaran (Pinjaman, Biasiswa dan Bantuan) Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN) Rosfanizam Din.










