YB Zakhran komited bantu jayakan pembangunan kawasan rekreasi Bukit Bakar
Oleh: Irham Hilmi Hashim
MACHANG, 3 Ogos – Ahli Dewan Negeri (ADN) Kemuning YB Ahmad Zakhran Mat Noor komited membantu merealisasikan pembangunan sebuah kawasan rekreasi berhampiran Taman Eko Rimba Bukit Bakar sebagai usaha memperkukuh sektor pelancongan dan merancakkan ekonomi masyarakat setempat.
Menurutnya, pembangunan kawasan rekreasi berkenaan berpotensi menjadi produk pelancongan baharu yang mampu menarik lebih ramai pengunjung ke daerah Machang sekali gus memberi limpahan manfaat kepada penduduk sekitar.
“Saya bersedia membantu bagi menjayakan projek taman rekreasi ini demi kebaikan dan manfaat rakyat, terutama dalam memperkasakan industri pelancongan serta merancakkan ekonomi masyarakat setempat,” katanya dalam media rasmi selepas mengadakan pertemuan dan meninjau pembangunan kawasan rekreasi berhampiran Taman Eko Rimba Bukit Bakar, hari ini.
Beliau memaklumkan, pertemuan itu diadakan bagi mendengar sendiri isu, cabaran dan halangan yang dihadapi oleh pengusaha dalam membangunkan kawasan rekreasi tersebut supaya usaha penyelesaiannya dapat diteliti melalui saluran yang bersesuaian.
Menurutnya, kawasan rekreasi yang dibangunkan di atas tanah milik persendirian seluas hampir 1.5 ekar itu mempunyai potensi besar untuk menjadi tarikan baharu kepada pelancong domestik dan seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi tempatan.
Beliau turut mengadakan perbincangan bersama pengusaha projek Zul Aiman Muhamad Zanini, 38, seorang anak muda tempatan yang berpengalaman dalam mengusahakan pusat rekreasi, termasuk Min House Camp di Kubang Kerian serta pernah mengendalikan perniagaan Soopa Doopa di Kolam Air Panas Tok Bok sebelum kawasan itu dibangunkan sebagai Taman Tema Air Splash @ Tok Bok.
Menurutnya, pengalaman dimiliki pengusaha tersebut menjadi nilai tambah dalam merealisasikan pembangunan kawasan rekreasi yang berkualiti dan mampu memberi impak positif kepada sektor pelancongan negeri.
Beliau berharap kerjasama antara pengusaha, masyarakat dan pihak berkaitan dapat terus diperkukuhkan agar pembangunan kawasan rekreasi itu dapat direalisasikan dengan lancar, sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi serta menjadikan Bukit Bakar sebagai destinasi rekreasi pilihan di Kelantan.










