Kebajikan atlet jadi keutamaan, buru kejayaan SUKMA 2026 – YB Zamakhshari
Oleh: Syamimi Manah
KOTA BHARU, 3 Ogos – Kebajikan atlet Negeri Kelantan terus menjadi keutamaan dalam memastikan barisan atlet yang bakal membawa cabaran negeri pada Temasya SUKMA XXII Selangor 2026 berada pada tahap persediaan terbaik bagi memburu kejayaan.
Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat merangkap Ketua Kontinjen Negeri Kelantan YB Zamakhshari Muhamad berkata, pelbagai inisiatif dan manfaat telah disediakan kepada atlet sebagai galakan untuk mereka terus cemerlang dalam bidang sukan dan akademik.
Menurutnya, selain persediaan dari aspek latihan dan pertandingan, kebajikan atlet turut diberi perhatian menerusi penyediaan elaun bulanan, peruntukan penyertaan ke kejohanan dalam dan luar negara, bantuan peralatan sukan serta makanan tambahan bagi menyokong keperluan latihan dan prestasi atlet.
“Kerajaan Negeri Kelantan melalui Majlis Sukan Negeri Kelantan sentiasa komited dalam memastikan kebajikan atlet diberi perhatian kerana mereka merupakan aset penting negeri dalam bidang sukan.
“Segala kemudahan dan manfaat yang disediakan ini diharap menjadi pembakar semangat kepada atlet-atlet Negeri Kelantan untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan bukan sahaja dalam sukan, malah akademik dan pembentukan sahsiah diri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Solat Hajat dan Penyerahan Bendera kepada Kontinjen Negeri Kelantan ke Temasya SUKMA XXII Selangor 2026 dan Para SUKMA Selangor 2026 di Kelantan Trade Center (KTC), Kota Bharu hari ini.
YB Zamakhshari berkata, aspek pendidikan atlet turut diberikan perhatian apabila atlet berpotensi dibantu mendapatkan peluang melanjutkan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), selain menerima insentif kecemerlangan akademik bagi mereka yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM dan STPM.
“Terbaharu, Majlis Sukan Negeri Kelantan sedang menyelaras pinjaman dan biasiswa bagi atlet yang melanjutkan pelajaran ke IPTA bersama Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN) bagi membantu mereka meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
Tambahnya, kebajikan atlet turut dipelihara melalui pelbagai bentuk bantuan seperti sumbangan bencana alam, sumbangan kemalangan, sumbangan perkahwinan serta khairat kematian.
Katanya lagi, pendekatan itu membuktikan kerajaan negeri bukan sahaja memberi perhatian kepada prestasi atlet di gelanggang, malah turut mengambil berat kebajikan mereka sepanjang bergelar atlet.
“Sesungguhnya kejayaan atlet adalah kejayaan Negeri Kelantan. Saya berharap segala kemudahan dan sokongan yang diberikan dapat menjadi suntikan semangat kepada atlet untuk berjuang dengan penuh keyakinan serta mengharumkan nama negeri di pentas SUKMA dan Para SUKMA Selangor 2026,” ujarnya.
Pada Temasya SUKMA XXII Selangor 2026, Kontinjen Negeri Kelantan akan menghantar seramai 751 anggota yang terdiri daripada 582 atlet dan 169 pegawai serta mengambil bahagian dalam 35 daripada 37 jenis sukan dipertandingkan.
Kontinjen Kelantan menyasarkan kutipan 36 pingat terdiri daripada 16 pingat emas, tujuh pingat perak dan 11 pingat gangsa pada temasya berkenaan.
Bagi Para SUKMA Selangor 2026 pula, Kelantan akan menghantar seramai 93 anggota kontinjen melibatkan 62 atlet dan 31 pegawai dengan sasaran kutipan 50 pingat iaitu 23 emas, 19 perak dan 17 gangsa.












