Kelantan sasar 16 emas, 34 pingat di SUKMA Selangor 2026
Oleh: Syamimi Manah
KOTA BHARU, 3 Ogos – Kontinjen Kelantan menyasarkan kutipan 34 pingat termasuk 16 pingat emas, tujuh pingat perak dan 11 pingat gangsa pada Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 yang akan berlangsung bermula 15 hingga 24 Ogos ini.
Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud berkata, kerajaan negeri sentiasa menghargai pengorbanan atlet yang membawa nama Kelantan di pentas kebangsaan dan bersetuju meningkatkan kadar insentif kemenangan kepada semua atlet yang berjaya meraih pingat pada SUKMA Selangor 2026.
Beliau berkata, penghargaan tersebut diharap menjadi suntikan motivasi kepada atlet untuk memberikan persembahan terbaik sekali gus merealisasikan sasaran pingat yang ditetapkan.
"Saudara dan saudari merupakan anak-anak Kelantan yang dipilih untuk menggalas amanah besar membawa maruah negeri di pentas kebangsaan.
Menteri Besar Kelantan, YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud
"Pamerkanlah semangat juang yang tinggi, disiplin yang terpuji dan akhlak yang mulia kerana saudara bukan sahaja mewakili kontinjen, bahkan menjadi wajah Negeri Kelantan di mata seluruh negara," katanya ketika merasmikan Majlis Solat Hajat dan Penyerahan Bendera kepada Kontinjen Negeri Kelantan ke SUKMA XXII Selangor dan Para SUKMA Selangor 2026 di Kelantan Trade Centre (KTC), di sini, hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri komited memperkukuh pembangunan sukan sebagai persediaan menghadapi SUKMA dan Para SUKMA Kelantan 2028 menerusi pembangunan infrastruktur, kemudahan latihan serta penyelarasan pelbagai aspek penganjuran.
"Hampir 70 peratus atlet yang mewakili Kelantan pada temasya kali ini masih layak beraksi pada SUKMA 2028. Ini merupakan satu kelebihan yang amat besar kepada Negeri Kelantan kerana memiliki barisan atlet pelapis yang berkualiti, berpotensi dan masih mempunyai ruang yang luas untuk terus diperkasa" ujarnya.
Sementara itu, Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat selaku Ketua Kontinjen Negeri Kelantan YB Zamakhshari Muhamad berkata, kontinjen Kelantan akan menyertai 35 daripada 37 jenis sukan yang dipertandingkan dengan menghantar 751 anggota kontinjen, terdiri daripada 582 atlet dan 169 pegawai, sekali gus menjadi penyertaan terbesar negeri dalam sejarah penyertaan di SUKMA.
Beliau berkata, temasya SUKMA Selangor 2026 akan berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos, namun beberapa acara akan bermula lebih awal iaitu pada 13 Ogos, menyebabkan sebahagian atlet dan pegawai berlepas lebih awal bagi membuat persiapan terakhir serta menyesuaikan diri dengan venue pertandingan.
Menurutnya, sasaran 16 emas tujuh perak dan 11 gangsa ditetapkan secara realistik berdasarkan prestasi semasa atlet, hasil analisis pihak pengurusan kontinjen serta persatuan sukan negeri.
"Berdasarkan prestasi dan semangat yang ditunjukkan oleh setiap atlet sepanjang tempoh latihan, insya Allah kita mampu mencapai sasaran yang telah ditetapkan," jelasnya.
Beliau turut memaklumkan Kontinjen Para SUKMA Kelantan akan menghantar 93 anggota, terdiri daripada 62 atlet dan 31 pegawai, bagi menyertai lapan daripada 10 jenis sukan yang dipertandingkan.
Katanya, Kontinjen Para SUKMA Kelantan menyasarkan kutipan 50 pingat, terdiri daripada 23 pingat emas, 19 pingat perak dan 17 pingat gangsa, berdasarkan prestasi semasa atlet, potensi acara yang disertai serta persiapan rapi sepanjang tempoh latihan.
Majlis tersebut turut menyaksikan penyerahan bendera kontinjen oleh Menteri Besar Kelantan kepada Ketua Kontinjen Negeri Kelantan sebagai simbolik pelepasan rasmi atlet ke Temasya SUKMA XXII Selangor 2026 dan Para SUKMA Selangor 2026.












