Kecemerlangan UPKK asas lahir generasi berilmu, berakhlak
Oleh: Irham Hilmi Hashim
Kredit foto: Media YB Hilmi Abdullah
KOTA DARUL NAIM, 3 Ogos – Kejayaan cemerlang murid dalam Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) membuktikan penguasaan akademik dan menjadi asas penting dalam melahirkan generasi yang berilmu, beriman serta berakhlak mulia.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata pencapaian cemerlang murid Sekolah Kebangsaan Kuala Krai (SKKK) dalam UPKK 2025 merupakan hasil usaha gigih murid, komitmen guru serta sokongan padu daripada ibu bapa dan pihak pentadbiran sekolah.
Menurutnya, kejayaan tersebut membuktikan kerjasama erat antara sekolah dan keluarga mampu melahirkan generasi yang cemerlang bukan sahaja dalam bidang akademik, malah memiliki sahsiah serta akhlak yang baik.
“Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada seluruh murid SK Kuala Krai yang berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam UPKK 2025.
“Tahniah juga kepada guru-guru KAFA, guru-guru SK Kuala Krai, pihak pentadbir sekolah dan ibu bapa yang sentiasa menjadi tulang belakang kepada kejayaan anak-anak. Kejayaan ini adalah hasil usaha gigih, doa yang tidak putus-putus serta kerjasama erat antara sekolah dan keluarga,” katanya dalam media rasmi, hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Kuala Krai berkata, UPKK bukan sekadar peperiksaan sebaliknya menjadi kayu ukur terhadap penguasaan ilmu al-Quran, Fardu Ain, akhlak serta asas pendidikan Islam dalam kalangan murid.
Menurutnya, keputusan UPKK turut menjadi antara merit penting bagi kemasukan ke sekolah agama peringkat menengah termasuk sekolah di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), institusi tahfiz dan institusi pendidikan Islam lain.
“Pencapaian ini diharapkan menjadi pembakar semangat kepada semua murid untuk terus meningkatkan prestasi akademik dan sahsiah diri.
“Kecemerlangan yang sebenar bukan hanya diukur melalui keputusan peperiksaan, tetapi juga pada akhlak, adab dan istiqamah dalam mengamalkan ajaran Islam,” katanya.
Beliau berharap kejayaan yang dicapai akan menjadi pemangkin kepada seluruh warga SK Kuala Krai untuk terus mengekalkan budaya kecemerlangan, sekali gus melahirkan lebih ramai pelajar yang mampu menyumbang kepada pembangunan agama, bangsa dan negara pada masa hadapan.
Menurutnya, generasi muda yang dibentuk dengan asas ilmu agama yang kukuh akan menjadi pewaris ummah yang berintegriti, berdaya saing dan mampu menghadapi cabaran masa depan tanpa mengabaikan nilai-nilai Islam.










