Accessibility Tools

Skip to main content

Exco Kerajaan Negeri Kelantan, YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail


Pelajar perlu kuasai Bahasa Arab sebelum ke Al-Azhar, Jordan

Oleh: Irham Hilmi Hashim
Kredit foto: Media Dato' Tuan Saripudin

KOTA DARUL NAIM, 3 Ogos – Penguasaan bahasa Arab yang mantap menjadi antara elemen penting dalam memastikan pelajar yang bakal melanjutkan pengajian ke luar negara mampu menyesuaikan diri dengan persekitaran akademik serta mengikuti pengajian dengan lebih berkesan.

Exco Kerajaan Negeri Kelantan YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata Kursus Bahasa Arab Persediaan Pelajar ke Universiti Al-Azhar dan Jordan merupakan inisiatif yang signifikan dalam menyediakan peserta dengan kemahiran bahasa serta keyakinan diri sebelum memulakan pengajian.

Menurutnya, persediaan awal melalui kursus sedemikian amat penting bagi membantu pelajar memahami bahasa Arab dengan lebih baik, sekali gus memudahkan proses pembelajaran apabila berada di institusi pengajian tinggi di Mesir dan Jordan.

“Penguasaan bahasa Arab bukan sahaja penting untuk tujuan akademik, malah menjadi asas kepada kefahaman ilmu serta memudahkan pelajar menyesuaikan diri dengan persekitaran pembelajaran di Universiti Al-Azhar dan Jordan.

“Kursus ini diharap dapat membina keyakinan peserta serta menjadi bekalan yang bermanfaat sebelum mereka melangkah ke alam pengajian di luar negara,” katanya dalam media sosial, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ceramah sempena Kursus Bahasa Arab Persediaan Pelajar ke Universiti Al-Azhar dan Jordan yang berlangsung selama tiga hari di D’Heritage Resort & Training Center, Bachok, semalam.

Menurutnya, selain memperkukuh penguasaan bahasa, kursus tersebut turut berperanan membentuk sahsiah dan jati diri pelajar supaya menjadi individu yang berilmu, berakhlak mulia serta bersedia menghadapi cabaran sepanjang tempoh pengajian.

Katanya lagi, peluang melanjutkan pengajian ke institusi tersohor seperti Universiti Al-Azhar dan universiti di Jordan perlu dimanfaatkan sebaik mungkin dengan kesungguhan serta iltizam yang tinggi dalam menuntut ilmu.

“Semoga sepanjang tiga hari kursus ini para peserta memperoleh ilmu yang bermanfaat, dipermudahkan segala urusan dan terus istiqamah dalam menuntut ilmu.

“Kita juga berharap mereka akan muncul sebagai generasi yang cemerlang dalam akademik, berakhlak mulia serta bersedia berkhidmat untuk agama, ummah dan negara apabila kembali menabur bakti kelak,” ujarnya.

Pautan berjaya disalin!