Accessibility Tools

Skip to main content

Kelantan rekod pencapaian tertinggi negara dalam pembiakbakaan ternakan

Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Media Dato' Tuan Saripudin

BACHOK, 3 Ogos - Kelantan terus mencatat pencapaian cemerlang dalam bidang pembiakbakaan ternakan menerusi pelaksanaan teknologi pembiakan, sekali gus merekodkan prestasi tertinggi di Malaysia.

Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata pencapaian itu membuktikan keupayaan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan bersama penternak mengaplikasikan teknologi pembiakan secara berkesan di peringkat lapangan.

Katanya, kejayaan itu meningkatkan produktiviti ternakan dan menjadi asas penting kepada pembangunan industri lembu daging yang lebih moden, berdaya saing dan mampan selaras dengan aspirasi Program NAIMbif.

"Pada tahun 2025, sebanyak 15,753 perkhidmatan permanian beradas (AI), 22,535 pemeriksaan kebuntingan dan 9,935 kelahiran anak ternakan hasil AI telah direkodkan.

"Pencapaian ini merupakan yang tertinggi di Malaysia, sekali gus membuktikan keupayaan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan bersama-sama penternak dalam mengaplikasikan teknologi pembiakan secara berkesan di peringkat lapangan."

Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi, YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen Penternak NAIMbif Negeri Kelantan 2026 di Sudara Beach Resort, di sini, hari ini.

Beliau turut menyifatkan penyertaan penternak Kelantan dalam Himpunan Lembu Sado Malaya yang berlangsung di Kedah dari 24 hingga 26 Julai lalu sebagai satu lagi kejayaan membanggakan apabila berjaya mengharumkan nama negeri di pentas nasional.

Katanya, lebih membanggakan apabila dianggarkan hampir 99 peratus lembu yang dipertandingkan, membabitkan penyertaan dari seluruh Semenanjung Malaysia, merupakan lembu yang dilahirkan dan dibangunkan di Kelantan.

"Pencapaian ini membuktikan Kelantan memiliki penternak yang berdaya saing dan berkemahiran tinggi dan telah berjaya muncul sebagai hab utama pengeluaran baka lembu hibrid berkualiti di Malaysia,” jelasnya.

Tambahnya, kejayaan itu adalah hasil usaha berterusan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan bersama penternak dalam memperkasa program pembiakbakaan, termasuk menerusi penggunaan teknologi permanian beradas dan pelaksanaan Program NAIMbif.

Pada masa sama, beliau menegaskan kerajaan negeri komited memperkasa sektor penternakan sebagai antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi negeri.

Beliau turut menggalakkan lebih ramai penternak muda dan usahawan tani menyertai Program NAIMbif dengan memanfaatkan bimbingan Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta sokongan pelbagai agensi bagi melahirkan penternak moden yang mengaplikasikan teknologi baharu dalam bidang penternakan.

Pautan berjaya disalin!