Accessibility Tools

Skip to main content

Konvensyen Penternak NAIMbif platform perkukuh industri lembu pedaging Kelantan

Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Media Dato' Tuan Saripudin

BACHOK, 3 Ogos – Konvensyen Penternak NAIMbif Negeri Kelantan 2026 dilihat sebagai platform penting dalam memperkukuh pembangunan industri penternakan lembu pedaging di negeri ini.

Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata konvensyen anjuran Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan itu menjadi medan perkongsian ilmu dan pengalaman dan turut menjadi pengiktirafan kepada penternak yang menunjukkan komitmen tinggi dalam membangunkan industri berkenaan.

Katanya, program seperti itu juga membuka ruang kepada penternak berkongsi cabaran, kejayaan serta idea penambahbaikan bagi meningkatkan produktiviti dan kualiti pengeluaran, di samping menarik lebih ramai usahawan tani menceburi bidang penternakan.

"Program seperti ini juga membuka ruang kepada penternak untuk berkongsi cabaran, kejayaan serta idea penambahbaikan ke arah meningkatkan produktiviti dan kualiti pengeluaran, di samping menarik lebih ramai penyertaan baharu dalam kalangan usahawan tani."

Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi, YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen Penternak NAIMbif Negeri Kelantan 2026 di Sudara Beach Resort, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai program NAIMbif, Dato' Tuan Mohd Saripudin berkata inisiatif yang dilancarkan pada 2017 itu adalah strategi untuk menghasilkan lembu pedaging berkualiti tinggi menerusi pendekatan yang lebih sistematik dan moden.

Katanya, program berkenaan merangkumi penggunaan bioteknologi, pengurusan pemakanan yang terancang serta amalan penternakan yang lestari.

"Pelaksanaan sistem ini bukan sahaja memberi fokus kepada pengeluaran ternakan semata-mata, tetapi turut menyumbang kepada pembangunan satu 'Jenama Kelantan' yang berdaya saing, dengan ciri-ciri unggul seperti kadar tumbesaran yang cepat, kualiti daging yang tinggi serta keupayaan menyesuaikan diri dengan persekitaran tempatan," jelasnya.

Tambahnya, kerajaan turut menyalurkan pelbagai bantuan dan inisiatif kepada penternak di bawah program berkenaan sebagai bukti kesungguhan dalam memperkasa golongan itu daripada aspek pengurusan, teknologi dan ekonomi.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan Konvensyen Penternak NAIMbif Negeri Kelantan 2026, khususnya para penternak yang menjadi tulang belakang kejayaan program berkenaan.

Beliau berharap sinergi erat antara jabatan dan penternak dapat terus diperkukuhkan supaya Kelantan terus memperkukuh kedudukannya sebagai hab pengeluaran lembu hibrid berkualiti terbaik di Malaysia.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan Dr Yahasmida Yaacob, Ketua Bahagian Pembangunan Industri Ternakan Dr Siti Noorbainun Othman, Pemangku  Pengurus Kelantan Biotech Corporation Sdn. Bhd Mohd Afzanizan Arif serta Ketua-ketua Bahagian, Ketua Seksyen dan Ketua Perkhidmatan Veterinar Jajahan.

Pautan berjaya disalin!