Tengku Mahkota Kelantan zahir sokongan pembangunan landskap lestari Kota Bharu
Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Media MPKBBRI
KOTA DARULNAIM, 3 Ogos – Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra Ibni Almarhum Sultan Ismail Petra berkenan mencemar duli berangkat mengadakan lawatan ke beberapa tapak Projek Landskap Perbandaran Kota Bharu sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkasa pembangunan landskap bandar yang lestari, kondusif dan berkualiti demi kesejahteraan rakyat.
Menurut kenyataan yang dimuat naik di laman rasmi Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), lawatan pada 30 Julai itu bertujuan meninjau pelaksanaan serta kemajuan projek pembangunan landskap yang sedang dilaksanakan di pusat bandar dan dijangka siap pada awal tahun hadapan.
Turut mengiringi lawatan ialah Yang Dipertua MPKB-BRI Dato' Zulkifle Abd Rahman, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Landskap Negara (JLN) Dr. Mazifah Simis, Setiausaha MPKB-BRI Nik Fazul Fazlee Nik Othman, pegawai-pegawai MPKB-BRI, pegawai Jabatan Landskap Negara, wakil perunding serta pihak kontraktor.
Sepanjang lawatan tersebut, Tengku Mahkota Kelantan berkenan mendengar taklimat ringkas mengenai perkembangan projek termasuk perancangan dan pelaksanaan kerja-kerja naik taraf landskap yang sedang dijalankan.
"Antara lokasi yang dilawati ialah Dataran Kota Sultan Ismail Petra, Padang Merdeka, Bulatan Medan Tuan Padang, laluan pejalan kaki di Jalan Temenggong serta beberapa lorong belakang di sekitar pusat bandar yang terlibat dengan projek pengindahan" kata kenyataan tersebut di laman rasmi pada 31 Julai.
MPKB-BRI memaklumkan, lawatan berkenaan mencerminkan keprihatinan dan sokongan berterusan YTM Tengku Mahkota Kelantan terhadap usaha memperkukuh pembangunan landskap bandar bagi mewujudkan persekitaran yang lebih selesa, bersih dan berdaya huni.
Menurut kenyataan itu lagi, pelaksanaan projek berkenaan turut bertujuan meningkatkan imej Kota Bharu sebagai sebuah Bandar Raya Islam yang indah, tersusun dan mampu memberikan nilai tambah kepada kesejahteraan masyarakat serta sektor pelancongan.












