Accessibility Tools

Skip to main content

Dato’ Wan Roslan santuni mangsa terselamat tragedi panahan petir di Tumpat

  • 06 August 2026
  • Oleh: Irham Hilmi Hashim
  • 37

KOTA DARULNAIM, 6 Ogos — Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi merangkap Ahli Dewan Negeri (ADN) Pengkalan Kubor YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat menyantuni mangsa yang terselamat dalam tragedi panahan petir yang mengorbankan seorang pemain bola sepak ketika perlawanan di Golok, Thailand sebagai tanda keprihatinan dan sokongan moral kepada mangsa.

Beliau menziarahi Mohamad Aliff Ezzahan Zulkifli, 22, di kediamannya di Kampung Tujuh, Pengkalan Kubor, semalam bagi bertanya khabar mengenai keadaan kesihatannya serta memberikan kata-kata semangat selepas insiden yang menggemparkan itu.

Menurut Dato’ Wan Roslan, Aliff merupakan sahabat rapat kepada Allahyarham Safwan Awae dan berada di belakang arwah ketika kejadian panahan petir berlaku dalam perlawanan Piala FA Golok yang menemukan pasukan Abu Sirin Bukit Ta dengan Sam Colt pada 4 Ogos.

Beliau berkata, tragedi itu meragut nyawa Allahyarham Safwan Awae yang juga bekas pemain Kelab Bolasepak Kampung Baru Nelayan FC serta pernah beraksi dalam Liga Tumpat musim 2024.

“Kehadiran saya hari ini adalah sebagai tanda sokongan dan keprihatinan kepada saudara Aliff agar beliau terus diberikan kekuatan untuk menghadapi ujian yang menimpa.

“Semoga saudara Aliff terus diberikan kesembuhan, kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian ini,” katanya menerusi media sosial.

Beliau turut mengajak masyarakat bersama-sama mendoakan Allahyarham Safwan Awae agar segala dosanya diampunkan dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.

“Marilah kita bersama-sama mendoakan agar Allah SWT mengampuni segala dosa Allahyarham Safwan Awae, melimpahkan rahmat-Nya serta menempatkan roh beliau dalam kalangan orang-orang yang beriman,” katanya.

Menurutnya, setiap musibah yang berlaku menjadi peringatan kepada masyarakat agar sentiasa menghargai nikmat kehidupan, saling mengambil berat antara satu sama lain serta tidak putus mendoakan mereka yang sedang diuji.

Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Safwan Awae dan berharap mereka dikurniakan kesabaran serta ketabahan dalam menghadapi kehilangan insan tersayang.

Pautan berjaya disalin!


Rang undang-undang kesalahan syariah baharu tampil dengan pembaharuan berteraskan maqasid syariah

  • 06 August 2026
  • Oleh: Irham Hilmi Hashim
  • 37

KOTA DARULNAIM, 5 Ogos — Kerajaan Negeri Kelantan akan membentangkan Rang Undang-Undang Kesalahan Syariah (Kelantan) 2026 yang menampilkan pembaharuan menyeluruh dalam perundangan syariah negeri menerusi pendekatan penggubalan berasaskan prinsip pith and substance serta penyusunan kesalahan mengikut kerangka Maqasid Syariah.

Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato' Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, rang undang-undang baharu itu mengandungi sembilan bahagian, 62 seksyen dan satu jadual, selain memperkenalkan beberapa peruntukan baharu yang akan diperincikan semasa pembentangan pada Persidangan Kali Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan yang dijadual berlangsung dari 11 hingga 13 Ogos ini.

Menurut beliau, penggubalan rang undang-undang tersebut memberi penekanan kepada kewajipan agama (taklifan) yang diperintahkan syarak sebagai inti pati setiap kesalahan, manakala penyusunan kesalahan pula dibuat berasaskan lima objektif utama Maqasid Syariah, iaitu pemeliharaan agama (hifz ad-din), nyawa (hifz an-nafs), akal (hifz al-'aql), harta (hifz al-mal) dan keturunan.

“Rang undang-undang ini turut mengandungi beberapa peruntukan baharu dan ciri-ciri pembaharuan yang diperkenalkan melalui proses penggubalannya.

“Butiran penuh mengenai rang undang-undang ini akan dijelaskan secara terperinci semasa pembentangan di Dewan Negeri kelak,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Kerajaan Negeri di Mabna Kota Darulnaim, hari ini.

Beliau berkata, rang undang-undang tersebut digubal bagi menggantikan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 Negeri Kelantan susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 9 Februari 2024 dalam kes Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid & Seorang Lagi lwn. Kerajaan Negeri Kelantan yang memutuskan 16 peruntukan enakmen berkenaan terbatal dan tidak sah kerana berada di luar bidang kuasa Badan Perundangan Negeri.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri menubuhkan Jawatankuasa Pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah pada pertengahan 2024 bagi mengkaji semula bukan sahaja 16 peruntukan yang dibatalkan, malah keseluruhan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019.

Menurutnya, jawatankuasa tersebut dianggotai pakar perundangan sivil dan syariah, ahli akademik, pakar Perlembagaan serta pegawai Kehakiman Syariah yang mewakili pelbagai pihak berkepentingan bagi meneliti secara menyeluruh alasan penghakiman Mahkamah Persekutuan sebelum penggubalan dilaksanakan.

Jelasnya, penyediaan rang undang-undang itu turut melalui beberapa peringkat penelitian termasuk pembentangan kepada Jemaah Ulama Kelantan di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) bagi mendapatkan penelitian dari sudut fatwa dan hukum syarak.

“Proses ini mengambil sedikit masa kerana setiap peruntukan diteliti secara menyeluruh bagi memastikan rang undang-undang yang digubal benar-benar kukuh dari sudut syariah dan Perlembagaan,” katanya.

Beliau menjelaskan, pendekatan penggubalan yang diambil adalah dalam ruang lingkup bidang kuasa Dewan Negeri sebagaimana diperuntukkan di bawah Item 1, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, khususnya berkaitan pewujudan dan penghukuman terhadap kesalahan yang melanggar perintah agama Islam.

Menurutnya, rang undang-undang tersebut memberi tumpuan kepada kesalahan yang bersifat keagamaan meliputi aspek akidah, kesucian agama Islam, institusi-institusi Islam serta perkara berkaitan moral menurut syariat.

“Penggubalan Rang Undang-undang ini mengambil kira sepenuhnya alasan penghakiman Mahkamah Persekutuan dalam kes Nik Elin serta beberapa keputusan terdahulu, di samping menghormati bidang kuasa Badan Perundangan Negeri dan kedaulatan Perlembagaan Persekutuan.

“Penggubalan ini membuktikan bahawa undang-undang syariah mampu terus berkembang melalui ijtihad perundangan dalam kerangka Perlembagaan,” ujarnya.

Pautan berjaya disalin!