Accessibility Tools

Skip to main content

100 penduduk Apam Putra terima agihan pokok cempedak durian, baja organik

  • 06 August 2026
  • Oleh: Irham Hilmi Hashim
  • 50

KOTA DARULNAIM, 6 Ogos — Sebanyak 100 penduduk di Dewan Negeri (DUN) Apam Putra menerima agihan 100 anak pokok cempedak durian dan baja organik daripada Kerajaan Negeri Kelantan dalam usaha  kerajaan negeri menyemarakkan budaya pertanian di peringkat komuniti, sekali gus memperkukuh agenda keterjaminan makanan negeri.

Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, inisiatif menerusi Program Apo Koba Pok Tani Agro Al Falah itu bertujuan menggalakkan masyarakat memanfaatkan tanah atau ruang yang ada dengan tanaman bernilai tinggi yang mampu menjana pendapatan serta menjadi sumber bekalan makanan kepada keluarga.

Menurutnya, usaha membudayakan aktiviti pertanian dalam kalangan rakyat perlu diperkasa secara berterusan bagi meningkatkan pengeluaran makanan di peringkat komuniti dan mengukuhkan sekuriti makanan negeri.

“Melalui program ini, sebanyak 100 penerima menerima anak pokok cempedak durian sebagai galakan untuk mengusahakan tanaman bernilai tinggi yang berpotensi memberikan pulangan ekonomi pada masa hadapan.

Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi, YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail

“Kerajaan Negeri berharap lebih ramai masyarakat memanfaatkan tanah atau kawasan yang sesuai untuk diusahakan dengan tanaman berkualiti, sekali gus memperkukuh sektor agromakanan negeri,” katanya dalam media rasmi selepas merasmikan Program Apo Koba Pok Tani Agro Al Falah DUN Apam Putra di Pusat Khidmat DUN Apam Putra, semalam.

Beliau berkata, selain menerima anak pokok, peserta turut dibekalkan baja organik sebagai usaha menggalakkan amalan pertanian organik yang lebih lestari dan mesra alam.

Menurutnya, penggunaan baja organik bukan sahaja membantu meningkatkan kesuburan tanah, malah mampu menghasilkan tanaman yang lebih berkualiti serta menyokong pembangunan pertanian mampan.

Katanya, program tersebut diurussetiakan oleh Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPKB) sebagai salah satu inisiatif memperluas penyertaan masyarakat dalam sektor pertanian melalui pendekatan yang praktikal dan berimpak tinggi.

“Peserta turut diberikan penerangan mengenai pelbagai bantuan dan inisiatif yang disediakan oleh Kerajaan Negeri, Jabatan Pertanian serta agensi berkaitan bagi menyokong pembangunan sektor pertanian dan membantu pekebun meningkatkan produktiviti masing-masing,” ujarnya.

Beliau berkata, pendedahan terhadap pelbagai bentuk bantuan itu diharap dapat dimanfaatkan oleh peserta untuk mengembangkan aktiviti pertanian secara lebih sistematik, berdaya maju dan berorientasikan hasil.

Turut hadir, Exco Kerajaan Negeri Kelantan yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Apam Putra YB Zamakhshari Muhamad, ADN Gual Periok YB Kamaruzaman Mohamad dan Pengurus Besar KPKB Mukhlis Mokhtar.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri akan terus memperkenalkan pelbagai program yang mampu memperkasakan sektor pertanian sebagai pemacu ekonomi rakyat di samping memastikan bekalan makanan negeri kekal mencukupi dan mampan.

“Semoga usaha ini terus menyemarakkan budaya bertani, memperkukuh amalan pertanian organik dan melahirkan lebih ramai pekebun yang mampu menyumbang kepada keterjaminan makanan Negeri Kelantan,” katanya.

Pautan berjaya disalin!


Rang undang-undang kesalahan syariah baharu tampil dengan pembaharuan berteraskan maqasid syariah

  • 06 August 2026
  • Oleh: Irham Hilmi Hashim
  • 50

KOTA DARULNAIM, 5 Ogos — Kerajaan Negeri Kelantan akan membentangkan Rang Undang-Undang Kesalahan Syariah (Kelantan) 2026 yang menampilkan pembaharuan menyeluruh dalam perundangan syariah negeri menerusi pendekatan penggubalan berasaskan prinsip pith and substance serta penyusunan kesalahan mengikut kerangka Maqasid Syariah.

Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato' Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, rang undang-undang baharu itu mengandungi sembilan bahagian, 62 seksyen dan satu jadual, selain memperkenalkan beberapa peruntukan baharu yang akan diperincikan semasa pembentangan pada Persidangan Kali Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan yang dijadual berlangsung dari 11 hingga 13 Ogos ini.

Menurut beliau, penggubalan rang undang-undang tersebut memberi penekanan kepada kewajipan agama (taklifan) yang diperintahkan syarak sebagai inti pati setiap kesalahan, manakala penyusunan kesalahan pula dibuat berasaskan lima objektif utama Maqasid Syariah, iaitu pemeliharaan agama (hifz ad-din), nyawa (hifz an-nafs), akal (hifz al-'aql), harta (hifz al-mal) dan keturunan.

“Rang undang-undang ini turut mengandungi beberapa peruntukan baharu dan ciri-ciri pembaharuan yang diperkenalkan melalui proses penggubalannya.

“Butiran penuh mengenai rang undang-undang ini akan dijelaskan secara terperinci semasa pembentangan di Dewan Negeri kelak,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Kerajaan Negeri di Mabna Kota Darulnaim, hari ini.

Beliau berkata, rang undang-undang tersebut digubal bagi menggantikan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 Negeri Kelantan susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 9 Februari 2024 dalam kes Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid & Seorang Lagi lwn. Kerajaan Negeri Kelantan yang memutuskan 16 peruntukan enakmen berkenaan terbatal dan tidak sah kerana berada di luar bidang kuasa Badan Perundangan Negeri.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri menubuhkan Jawatankuasa Pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah pada pertengahan 2024 bagi mengkaji semula bukan sahaja 16 peruntukan yang dibatalkan, malah keseluruhan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019.

Menurutnya, jawatankuasa tersebut dianggotai pakar perundangan sivil dan syariah, ahli akademik, pakar Perlembagaan serta pegawai Kehakiman Syariah yang mewakili pelbagai pihak berkepentingan bagi meneliti secara menyeluruh alasan penghakiman Mahkamah Persekutuan sebelum penggubalan dilaksanakan.

Jelasnya, penyediaan rang undang-undang itu turut melalui beberapa peringkat penelitian termasuk pembentangan kepada Jemaah Ulama Kelantan di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) bagi mendapatkan penelitian dari sudut fatwa dan hukum syarak.

“Proses ini mengambil sedikit masa kerana setiap peruntukan diteliti secara menyeluruh bagi memastikan rang undang-undang yang digubal benar-benar kukuh dari sudut syariah dan Perlembagaan,” katanya.

Beliau menjelaskan, pendekatan penggubalan yang diambil adalah dalam ruang lingkup bidang kuasa Dewan Negeri sebagaimana diperuntukkan di bawah Item 1, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, khususnya berkaitan pewujudan dan penghukuman terhadap kesalahan yang melanggar perintah agama Islam.

Menurutnya, rang undang-undang tersebut memberi tumpuan kepada kesalahan yang bersifat keagamaan meliputi aspek akidah, kesucian agama Islam, institusi-institusi Islam serta perkara berkaitan moral menurut syariat.

“Penggubalan Rang Undang-undang ini mengambil kira sepenuhnya alasan penghakiman Mahkamah Persekutuan dalam kes Nik Elin serta beberapa keputusan terdahulu, di samping menghormati bidang kuasa Badan Perundangan Negeri dan kedaulatan Perlembagaan Persekutuan.

“Penggubalan ini membuktikan bahawa undang-undang syariah mampu terus berkembang melalui ijtihad perundangan dalam kerangka Perlembagaan,” ujarnya.

Pautan berjaya disalin!