Penggunaan nama Kelantan bagi program swasta wajib dapat kebenaran kerajaan negeri
-
05 August 2026
-
Oleh: Irham Hilmi Hashim
-
35
KOTA DARULNAIM, 5 Ogos — Kerajaan Negeri Kelantan menetapkan semua program yang dianjurkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau pihak swasta yang menggunakan nama "Kelantan" wajib mendapatkan kebenaran kerajaan negeri terlebih dahulu bagi memastikan imej, reputasi dan kepentingan negeri terus terpelihara.
Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad berkata, ketetapan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Kerajaan Negeri sebagai garis panduan baharu bagi memperkemaskan penggunaan nama Kelantan dalam penganjuran pelbagai program dan acara.
Menurutnya, setiap permohonan akan dinilai secara menyeluruh berdasarkan kesesuaian program, kandungan pengisian serta keupayaan penganjur sebelum sebarang kelulusan diberikan.
“Kerajaan Negeri bersetuju bahawa selepas ini sebarang program yang dianjurkan oleh NGO ataupun pihak swasta yang menggunakan nama Kelantan perlu mendapat kebenaran kerajaan negeri terlebih dahulu.
“Setiap permohonan akan diteliti termasuk bentuk program, pengisian serta keupayaan penganjur supaya penggunaan nama Kelantan benar-benar bersesuaian dan tidak menjejaskan imej negeri,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Kerajaan Negeri di Mabna Kota Darulnaim, hari ini.
Beliau memaklumkan, keputusan itu dibuat susulan isu penganjuran Kelantan International Marathon yang tular di media sosial selepas terdapat peserta membuat pendaftaran sebelum program berkenaan dibatalkan.
Tegasnya, program tersebut dianjurkan oleh pihak swasta dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan Kerajaan Negeri Kelantan.
“Program tersebut tidak ada kena-mengena dengan Kerajaan Negeri Kelantan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata penganjur program berkenaan pernah mengadakan pertemuan dengannya beberapa bulan lalu bagi membincangkan cadangan menggunakan nama Kelantan untuk acara tersebut.
Bagaimanapun, selepas meneliti latar belakang serta pengalaman penganjur, beliau telah menasihatkan supaya program itu dianjurkan pada skala lebih kecil terlebih dahulu sebelum dikembangkan pada masa hadapan.
Menurutnya lagi, penganjur bagaimanapun meneruskan perancangan tersebut sehingga akhirnya timbul pelbagai isu yang mendapat perhatian masyarakat.
Beliau menjelaskan, syarat mendapatkan kebenaran kerajaan negeri akan terpakai kepada semua program yang menggunakan nama Kelantan termasuk program yang dianjurkan di luar negeri.
Jelasnya, permohonan boleh dikemukakan kepada Exco yang berkaitan mengikut bidang masing-masing untuk dinilai sebelum sebarang kelulusan diberikan.
“Langkah ini bukan bertujuan menyekat penganjuran program oleh NGO atau pihak swasta, sebaliknya memastikan penggunaan nama Kelantan dibuat secara bertanggungjawab, berintegriti dan tidak menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan program rasmi Kerajaan Negeri, KBF Marathon, akan diteruskan mengikut jadual pada 5 September.
Menurutnya, segala persiapan penganjuran sedang berjalan lancar dan program itu diyakini dapat dilaksanakan dengan sempurna.














