NGO pelbagai kaum diseru jadi ejen sampaikan gambaran sebenar Kelantan
-
05 August 2026
-
Oleh: Syamimi Manah
-
30
KOTA DARULNAIM, 5 Ogos – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pelbagai kaum di Kelantan diseru memainkan peranan sebagai ejen penyampai maklumat dengan berkongsi gambaran sebenar mengenai negeri ini kepada masyarakat luar, sekali gus membantu membetulkan persepsi yang kurang tepat terhadap Kelantan.
Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri Kelantan YB Zamakhshari Muhamad berkata, NGO pelbagai kaum mempunyai peranan penting dalam menyampaikan fakta dan pengalaman sebenar mengenai suasana kehidupan, keharmonian serta pembangunan di Kelantan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan kepada NGO pelbagai kaum di Mabna, Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.
Menurutnya, rakyat Kelantan termasuk NGO pelbagai kaum perlu lebih proaktif dalam menyampaikan maklumat yang benar mengenai negeri ini agar masyarakat luar memperoleh gambaran yang tepat.
"Kita berharap semua dapat menjadi ejen yang menyampaikan keadaan sebenar di Kelantan. Ceritakan perkara yang benar supaya masyarakat luar mengetahui realiti sebenar negeri ini dan tidak hanya bergantung kepada persepsi yang tidak tepat," katanya.
Beliau turut berharap hubungan baik antara NGO masyarakat India dan masyarakat Tionghua di Kelantan terus dipelihara bagi memastikan keharmonian dan perpaduan yang dikecapi selama ini dapat dikekalkan.
Dalam pada itu, YB Zamakhshari berkata, penyampaian sumbangan itu merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam menyokong aktiviti kemasyarakatan serta memperkukuhkan hubungan dengan masyarakat pelbagai kaum.
Katanya, sepanjang tahun ini kerajaan negeri telah mengadakan tiga siri penyampaian sumbangan kepada NGO, dengan bantuan disalurkan berdasarkan permohonan yang diterima serta peruntukan yang disediakan oleh kerajaan negeri.
Beliau berkata, selain membantu NGO, Kerajaan Negeri turut menyediakan pelbagai bentuk bantuan kebajikan kepada rakyat menerusi inisiatif seperti Skim Kifaalah, Az-Ziwaaj dan bantuan kepada ibu muda sebagai usaha meningkatkan kesejahteraan masyarakat.
Pada majlis tersebut, lima NGO pelbagai kaum menerima sumbangan daripada kerajaan negeri iaitu Tokong Pulai Swee Nyet Keung bagi membaik pulih dewan serbaguna, Persatuan Penganut Tiong Hua Hian Tuar Keong bagi membaik pulih tandas yang rosak dan Pertubuhan Kebudayaan dan Kesenian Xiang Long Kelantan bagi penganjuran Pertandingan Tarian Singa Akrobatik 2026.
Turut menerima sumbangan, Tempel Penganut Kuan Seng Tir Kun Pasir Parit Pasir Mas serta Kelantan Indian Chamber of Commerce & Industry bagi pelaksanaan aktiviti tahunan 2026.















