Lima keluarga mangsa kebakaran Kampung Bagus terima bantuan Tabung Serambi Mekah
-
05 August 2026
-
Oleh: Syamimi Manah
RANTAU PANJANG, 5 Ogos– Lima keluarga yang terjejas dalam insiden kebakaran di Cabang 3, Kampung Bagus menerima bantuan segera Tabung Serambi Mekah yang disampaikan oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Gual Periok YB Kamaruzaman Mohamad, semalam.
YB Kamaruzaman berkata, bantuan tersebut disampaikan bersama Penghulu Wan Idris Wan Deraman sebagai usaha meringankan beban mangsa yang kehilangan tempat tinggal dan harta benda akibat kebakaran itu.
“Lima penerima bantuan tersebut ialah Nik Marwati Mustafa, Norizni Mahmud, Mek Nga Yusoff, Hafiz Muhammad dan Mohd Rosli Abdullah, katanya.
Tambahnya, kebakaran yang berlaku pada Khamis lalu itu telah mengakibatkan tiga buah rumah musnah sepenuhnya, manakala dua buah lagi mengalami kerosakan teruk akibat dijilat api. Insiden itu turut memusnahkan hampir keseluruhan barangan keperluan harian milik mangsa serta tiga buah motosikal.
Menurut YB Kamaruzaman, sumbangan awal daripada Tabung Serambi Mekah diharap dapat meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa sementara mereka berusaha meneruskan kehidupan selepas ditimpa musibah.
"Semoga sumbangan awal daripada Tabung Serambi Mekah ini dapat meringankan sedikit beban yang ditanggung oleh mangsa. Insya-Allah, kami akan terus memantau perkembangan mereka dan berusaha membantu melalui saluran yang sewajarnya," kata beliau di laman sosial rasminya, semalam.
YB Kamaruzaman turut mengajak orang ramai mendoakan agar semua mangsa diberikan kekuatan, ketabahan dan dipermudahkan segala urusan.
“Semoga Allah SWT menggantikan segala kehilangan dengan rezeki yang lebih baik," katanya.












