AKSB laksana 'flushing' paip utama, kualiti air dijangka pulih dalam tempoh lima hari
-
05 August 2026
-
Oleh: Asri Hamat | Kredit foto: Media AKSB
KOTA BHARU, 5 Ogos – Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) sedang mempergiat kerja-kerja pembersihan (flushing) di paip-paip utama di Machang, Pasir Puteh dan sebahagian Kota Bharu Selatan bagi memastikan kualiti bekalan air bertambah baik susulan siapnya kerja pembaikan paip air mentah di Sungai Bagan Machang pada 31 Julai.
AKSB menerusi hantaran di media sosial pada Isnin memaklumkan, pelaksanaan kerja-kerja pembersihan itu menyebabkan kualiti bekalan air bersih sedikit terjejas buat sementara waktu dan dijangka mengambil masa antara empat hingga lima hari untuk kembali pulih seperti sediakala.
"AKSB Jajahan, khususnya Machang, Pasir Puteh dan sebahagian Kota Bharu Selatan telah dan sedang mempergiat kerja-kerja flushing atau pembersihan di paip-paip utama bagi memastikan kualiti air bertambah baik," katanya.
Sehubungan itu, AKSB berharap pengguna di tiga jajahan terbabit bersabar sepanjang tempoh pemulihan kualiti bekalan air. Orang ramai yang memerlukan maklumat lanjut atau bantuan boleh menghubungi PINTAS Careline di talian 15777.
Dalam pada itu, AKSB turut merakamkan penghargaan kepada Pengurusan Air Selangor, Syarikat Air Darulaman (SADA), Pengurusan Air Pahang (PAIP), Syarikat Air Terengganu (SATU), Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dan Lembaga Air Perak (LAP) atas bantuan dalam misi penghantaran bekalan air di Machang, Pasir Puteh dan sebahagian Kota Bharu Selatan sepanjang 30 Julai hingga 2 Ogos 2026.














