Pemerintahan Islam terbukti mampu tadbir masyarakat majmuk - Speaker DUN Kelantan
-
05 August 2026
-
Oleh: Asri Hamat | Kredit foto: Media Dato' Mohd Amar
KOTA DARULNAIM, 5 Ogos - Pemerintahan Islam terbukti mempunyai keupayaan mentadbir masyarakat yang merentasi pelbagai bangsa, bahasa dan budaya berlandaskan keadilan, ilmu serta syariat, kata Speaker Dewan Negeri (DUN) Kelantan, YB Dato' Sri Amar Diraja, Dato' Mohd Amar Abdullah.
Katanya, tanggapan bahawa Islam hanya sesuai diamalkan dalam urusan ibadah, manakala pentadbiran negara moden memerlukan sistem berbeza, berpunca daripada kegagalan memahami sejarah Islam secara menyeluruh.
Jelasnya, sejak zaman Khulafa al-Rasyidin, pemerintahan Islam berkembang merentasi pelbagai bangsa, bahasa dan budaya sebelum diteruskan oleh kerajaan Umawiyyah, Abbasiyyah dan Turki Uthmaniyyah yang mentadbir wilayah sangat luas selama berabad-abad.
"Di sebelah barat pula, Andalusia muncul sebagai antara pusat ilmu, sains dan tamadun yang menjadi rujukan dunia.
"Kejayaan itu tidak bergantung kepada kekuatan tentera semata-mata, sebaliknya lahir daripada pentadbiran yang tersusun, sistem kehakiman yang dihormati, pengurusan kewangan yang teratur, institusi pendidikan yang berkembang serta keupayaan pemerintah menyesuaikan pelaksanaan pentadbiran mengikut keperluan zaman tanpa meninggalkan prinsip syariat," katanya dalam satu hantaran di media sosial pada Selasa.
Menurutnya, antara contoh kebijaksanaan pentadbiran Islam ialah penyelarasan mushaf al-Quran pada zaman Khalifah Uthman bin Affan RA ketika wilayah Islam berkembang sehingga ke Azerbaijan dan Armenia.
Tambahnya, tindakan itu diambil selepas Huzaifah bin al-Yaman RA menyuarakan kebimbangan mengenai perbezaan bacaan al-Quran yang mula menimbulkan pertikaian dalam kalangan orang awam.
Susulan itu, katanya, Khalifah Uthman RA menubuhkan jawatankuasa diketuai Zaid bin Thabit RA bagi menyalin mushaf berdasarkan suhuf yang dihimpunkan pada zaman Khalifah Abu Bakar RA sebelum salinannya dihantar ke pusat-pusat pemerintahan Islam sebagai rujukan rasmi.
"Keputusan itu bukan mengubah al-Quran, sebaliknya memelihara kesatuan umat. Hingga hari ini, umat Islam di seluruh dunia masih membaca mushaf yang berpandukan penyelarasan itu," katanya.
YB Dato' Mohd Amar juga berkata, sejarah turut membuktikan pemerintahan Islam tidak pernah terbatas kepada satu kaum apabila wilayah Islam pernah merangkumi Asia, Afrika dan Eropah dengan penduduk terdiri daripada pelbagai bangsa, bahasa dan agama.
Ujarnya, pengalaman itu membuktikan masyarakat majmuk bukan sesuatu yang asing dalam tamadun Islam, sebaliknya keadilan menjadi asas pentadbiran manakala dakwah disampaikan dengan kebijaksanaan dan akhlak yang mulia.
Beliau turut menegaskan bahawa ramai tidak menolak Islam selepas memahami ajarannya, sebaliknya mereka menolak kerana belum benar-benar mengenali keindahan agama itu.
Pada masa sama, beliau mengingatkan supaya tidak mudah berputus asa dalam perjuangan menegakkan Islam kerana cabaran bukan semestinya petanda kegagalan, bahkan boleh menjadi isyarat bahawa matlamat semakin hampir.
Tegas beliau lagi, umat Islam perlu terus menuntut ilmu, membina akhlak, menyampaikan dakwah dan melaksanakan amanah dengan sebaik-baiknya, manakala hasil akhirnya diserahkan kepada Allah SWT.
"Segala-galanya bermula dengan ilmu yang dipandu oleh wahyu. Daripada ilmu lahirlah akidah yang teguh, syariat yang diamalkan dan akhlak yang mulia, seterusnya membentuk masyarakat yang adil serta pemerintahan yang membawa rahmat kepada seluruh manusia," katanya.








