Accessibility Tools

Skip to main content

Jalan Kampung Bukit Sireh sepanjang 550 meter siap dinaik taraf demi keselamatan penduduk

Oleh: Irham Hilmi Hashim

KUALA KRAI, 2 Ogos – Masalah jalan berlopak dan berlubang di Kampung Bukit Sireh kini selesai apabila kerja-kerja membaik pulih dan menurap jalan sepanjang kira-kira 550 meter siap sepenuhnya pada minggu lalu.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Mengkebang YB Zubir Abu Bakar berkata pelaksanaan projek tersebut membuktikan komitmen Kerajaan Negeri Kelantan dalam memastikan penyelenggaraan infrastruktur asas terus diberi perhatian demi keselesaan dan keselamatan rakyat.

Menurutnya, usaha membaik pulih jalan berkenaan merupakan susulan kepada permohonan yang telah dikemukakan oleh Pusat Khidmat DUN Mengkebang pada tahun lalu selepas menerima aduan daripada penduduk setempat.

“Sebelum ini saya telah meminta pihak Pusat Khidmat DUN untuk mengangkat permohonan pembaikan dan penurapan jalan tersebut bagi memastikan masalah yang dihadapi penduduk dapat diselesaikan.

“Alhamdulillah, kerja-kerja pembaikan dan penurapan jalan itu akhirnya berjaya disiapkan dalam tempoh yang singkat demi memberikan keselesaan dan menjamin keselamatan pengguna jalan raya serta penduduk Kampung Bukit Sireh,” katanya dalam media rasmi, hari ini.

Beliau memaklumkan, keadaan jalan yang rosak sebelum ini menjejaskan kelancaran pergerakan penduduk dan turut menimbulkan risiko kepada pengguna, terutama ketika cuaca hujan.

Menurutnya, penyelenggaraan infrastruktur seperti jalan kampung perlu dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan kemudahan awam sentiasa berada dalam keadaan baik dan selamat digunakan oleh masyarakat.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri atas tindakan segera menyelesaikan isu ini serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan kerja-kerja pembaikan tersebut.

“Penghargaan juga dirakamkan kepada penduduk Kampung Bukit Sireh yang sentiasa memberikan maklumat serta kerjasama yang baik sepanjang proses permohonan dan pelaksanaan projek ini,” katanya.

Beliau berharap usaha menaik taraf dan menyelenggara infrastruktur asas akan terus diperkasakan dari semasa ke semasa agar kesejahteraan rakyat, khususnya di DUN Mengkebang, sentiasa terpelihara melalui penyediaan kemudahan yang lebih selesa, berkualiti dan selamat.

Pautan berjaya disalin!