Accessibility Tools

Skip to main content

MDBBPI banteras perniagaan vape tanpa lesen, 1,095 produk disita

Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Media MDBPI

BACHOK, 2 Ogos– Bahagian Penguatkuasaan Majlis Daerah Bachok (MDBBPI)  berjaya membanteras perniagaan vape tanpa lesen apabila menyita sebanyak 1,095 kotak rokok elektronik, perasa, vape dan kartrij dalam Operasi Bersepadu Membanteras Perniagaan Tanpa Lesen (Vape) yang dijalankan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sekitar kawasan Majlis Daerah Bachok pada 28 Julai.

Operasi khas yang berlangsung dari pukul 2.00 petang hingga 6.00 petang itu dilaksanakan hasil kerjasama antara Bahagian Penguatkuasaan Majlis Daerah Bachok dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN).

Menurut kenyataan MDBPI pada 30 Julai, operasi bersepadu tersebut melibatkan 12 anggota penguat kuasa yang terdiri daripada pegawai dan anggota PDRM serta pegawai penguat kuasa Majlis Daerah Bachok bagi memastikan tindakan penguatkuasaan dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan.

"Operasi ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan pihak berkuasa tempatan dalam menguatkuasakan larangan penjualan dan pengedaran produk vape selaras dengan keputusan Kerajaan Negeri Kelantan yang mengharamkan sepenuhnya perniagaan vape di semua kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini" katanya.

Sepanjang operasi dijalankan, beberapa premis perniagaan telah diperiksa bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang serta syarat pelesenan yang ditetapkan.

Hasil pemeriksaan, Bahagian Penguatkuasaan Majlis Daerah Bachok telah mengeluarkan dua kompaun terhadap premis yang didapati menjalankan perniagaan tanpa lesen di bawah Undang-Undang Kecil 3, Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian Majlis Daerah Bachok (Pindaan) 2025.

Selain tindakan kompaun, sebanyak 1,095 kotak rokok elektronik, perasa, vape dan kartrij turut disita sebagai barang kes bagi tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Pihak Majlis juga menegaskan bahawa operasi penguatkuasaan seumpama itu akan dilaksanakan secara berkala dan berterusan bagi memastikan tiada pihak melanggar larangan perniagaan vape yang telah ditetapkan oleh kerajaan negeri.

"Operasi seperti ini bagi memastikan tiada pelanggaran peraturan  serta demi memelihara kesejahteraan dan kesihatan masyarakat, khususnya generasi muda," tegasnya.

Pautan berjaya disalin!